Joniston (duduk, empat dari kanan) mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengarah STB semalam.
KOTA KINABALU: Lembaga Pelancongan Sabah (STB) mencadangkan penubuhan sebuah Sekretariat Tahun Melawat Sabah 2027 (VSY2027) yang khusus bagi menyelaras persiapan kempen pelancongan seluruh negeri itu.
Cadangan tersebut merupakan antara perkara utama yang dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengarah STB yang dipengerusikan oleh Pengerusinya, Datuk Joniston Bangkuai yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, di sini semalam.
Sekretariat yang dicadangkan itu bertujuan memperkukuh penyelarasan antara kementerian, agensi kerajaan dan pihak berkepentingan dalam industri pelancongan bagi memastikan pelaksanaan inisiatif VSY2027 lebih tersusun dan berkesan.
Ia melibatkan kementerian-kementerian utama, termasuk yang bertanggungjawab terhadap sektor pertanian dan portfolio berkaitan lain, selain agensi sektor awam seperti pihak berkuasa tempatan, pejabat daerah, jabatan imigresen, pihak berkuasa lapangan terbang serta badan kawal selia lain.
Pihak berkepentingan industri yang dijangka memainkan peranan termasuk hotel, syarikat penerbangan, pengendali pelancongan, perniagaan runcit, pengusaha pelancongan luar bandar serta wakil sektor seni, kebudayaan dan kulinari Sabah.
Joniston berkata, VSY2027 merupakan agenda besar negeri yang memerlukan pendekatan melibatkan keseluruhan kerajaan dan keseluruhan industri.
“Persiapan bagi VSY2027 perlu mencerminkan komitmen bersama daripada institusi kerajaan dan pemain industri bagi memastikan kejayaannya serta memaksimumkan manfaat kepada sektor pelancongan Sabah dan ekonomi secara keseluruhan.
“Memandangkan pelancongan merupakan antara tonggak ekonomi utama Kerajaan Negeri di bawah pelan pembangunan negeri, VSY2027 dicadangkan sebagai agenda negeri dengan sekretariat tersebut berperanan sebagai penyelaras dan pemudah cara utama,” katanya.
Lembaga itu turut meluluskan penggunaan slogan “Naturally Inspiring” sebagai tagline rasmi VSY2027 yang mencerminkan gabungan unik keindahan alam semula jadi, kepelbagaian budaya dan pengalaman pengembaraan autentik yang terdapat di Sabah.
Selain itu, Lembaga Pengarah turut mengambil maklum gesaan pemain industri pelancongan di Sabah supaya sektor tersebut turut dimasukkan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Joniston berkata, STB berharap dapat memudah cara sesi libat urus antara Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Persekutuan, Datuk Armizan Mohd. Ali dengan pihak berkepentingan industri pelancongan di Sabah bagi membincangkan perkara itu dengan lebih lanjut.
































