TAMPARULI: Dr. Bonaventure Boniface dipilih sebagai Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) N.14 Tamparuli yang baharu bagi sesi 2026–2029 selepas memenangi pertandingan dua penjuru pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-41 bahagian itu di Dewan Tun Hamdan, kelmarin.
Pemilihan yang berlangsung dalam suasana demokrasi, harmoni dan penuh semangat kekeluargaan itu menyaksikan beliau memperoleh mandat perwakilan dengan menewaskan mantan Timbalan Ketua Bahagian, Madin Anak.
Dalam ucapan sulungnya selepas diumumkan sebagai pemenang, Dr. Bonaventure merakamkan penghargaan kepada seluruh perwakilan atas kepercayaan yang diberikan, sambil menegaskan kemenangan tersebut adalah milik seluruh keluarga besar PBS Bahagian N.14 Tamparuli.
Beliau turut menzahirkan penghormatan kepada mantan Ketua Bahagian, Datuk Seri Jahid Jahim, yang menerajui bahagian itu selama enam penggal.
Menurutnya, jasa dan pengorbanan Jahid dalam membangunkan serta memperkukuhkan organisasi parti di Tamparuli merupakan legasi besar yang perlu terus dihargai oleh seluruh ahli.
“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Datuk Seri Jahid Jahim atas kepimpinan, jasa dan pengorbanan beliau selama enam penggal menerajui Bahagian Tamparuli. Beliaulah yang telah meletakkan asas yang kukuh untuk kita terus melangkah ke hadapan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar Jahid dilantik sebagai Penasihat PBS Bahagian N.14 Tamparuli supaya pengalaman, kebijaksanaan dan pandangannya terus dimanfaatkan dalam membimbing kepimpinan baharu demi kesinambungan perjuangan parti.
Dr. Bonaventure turut menyeru semua ahli supaya menutup lembaran pertandingan dan kembali bersatu sebagai satu pasukan.
“Mulai hari ini, tiada lagi pasukan saya atau pasukan lawan. Yang ada hanyalah satu pasukan PBS Tamparuli. Tanggungjawab kita sekarang ialah memperkukuhkan parti, mendekati rakyat dan memastikan PBS terus menjadi wadah perjuangan yang relevan demi masa depan Tamparuli dan Sabah,” tegasnya.
Dalam perkembangan sama, beliau turut mengemukakan usul supaya tiada pertandingan bagi jawatan tertinggi parti pada Kongres PBS akan datang.
Beliau mencadangkan agar Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam diangkat sebagai Presiden PBS bagi sesi 2026–2029 bagi memastikan kesinambungan kepimpinan yang stabil, memperkukuh perpaduan parti serta memperkasakan kedudukan PBS dalam kerajaan negeri dan landskap politik Sabah.
Bagi pemilihan sayap parti, penyandang Ketua Pergerakan Pemuda PBS Bahagian N.14 Tamparuli, Rizkam Wenddy Yabin berjaya mempertahankan jawatannya selepas menewaskan George Bagang.
Sementara itu, Maclyn Gabu dipilih sebagai Ketua Pergerakan Wanita tanpa bertanding selepas memangku jawatan berkenaan sebelum ini.
Seramai 650 perwakilan dari seluruh Bahagian N.14 Tamparuli hadir menunaikan tanggungjawab memilih kepimpinan baharu melibatkan jawatan Ketua Bahagian, Ketua Pergerakan Wanita dan Ketua Pergerakan Pemuda.
Terdahulu, sebanyak 85 daripada 89 cawangan PBS Bahagian N.14 Tamparuli berjaya mengadakan Mesyuarat Agung Cawangan, sekali gus memenuhi syarat perlembagaan parti bagi membolehkan AGM Bahagian dilaksanakan.
Mesyuarat Agung itu berakhir dalam suasana penuh muafakat dengan para perwakilan menyatakan komitmen untuk terus memperkukuh parti berteraskan perpaduan, kestabilan dan integriti, di samping memperkasakan PBS sebagai parti pelbagai kaum yang terus memperjuangkan hak serta kepentingan rakyat Sabah.






























