KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn. Bhd. (Sabah Electricity) hari ini memaklumkan bahawa catuan bekalan elektrik secara berjadual akan dilaksanakan di beberapa kawasan di seluruh Sabah berikutan kekurangan kapasiti penjanaan dalam sistem grid negeri.
Keadaan tersebut berpunca daripada gangguan pada platform gas luar pesisir milik Petroliam Nasional Berhad (Petronas), yang menjejaskan bekalan gas kepada beberapa Penjana Kuasa Bebas (IPP).
Situasi itu menyebabkan pengurangan kapasiti penjanaan elektrik dalam sistem grid Sabah.
Menurut Sabah Electricity, langkah catuan berjadual itu dilaksanakan sebagai sebahagian daripada usaha pengurusan sistem bagi memastikan kestabilan grid elektrik negeri terus terpelihara sementara kerja-kerja pemulihan kapasiti penjanaan sedang dijalankan.
Sabah Electricity memahami kesulitan yang bakal dihadapi pengguna susulan pelaksanaan catuan bekalan tersebut dan sedang berusaha sedaya upaya untuk meminimumkan tempoh gangguan.
Maklumat terkini mengenai kawasan yang terlibat serta perkembangan semasa akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi saluran rasmi Facebook Sabah Electricity Careline. Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi Sabah Electricity Careline di talian 15444.
Sabah Electricity memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami dan amat menghargai kesabaran serta kerjasama semua pengguna. Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga yang sewajarnya sepanjang tempoh catuan bekalan serta mengikuti pengumuman rasmi yang dikeluarkan oleh syarikat.






























