Lawrence (enam dari kiri) menyerahkan peralatan perikanan kepada Pilin.
NABAWAN : Sistem tagal antara pendekatan terbaik dalam memulihara sumber perikanan sungai dan memperkukuh kesejahteraan masyarakat luar bandar.
Pengarah Perikanan, Datin Dr. Shuhadah Mustapha berkata, sistem tagal yang diamalkan secara turun-temurun terbukti berjaya memulihkan semula sumber ikan sungai yang semakin berkurangan selain menjadi sandaran penting dalam menjamin keterjaminan makanan bagi komuniti pedalaman.
“Sistem tagal berteraskan penjagaan, pemuliharaan dan pengurusan sumber perikanan merupakan amalan warisan masyarakat Sabah yang telah dipraktikkan secara turun-temurun, selain terbukti berkesan sebagai pendekatan konservasi berasaskan komuniti.
“Di kawasan Pensiangan dan Pagalungan sahaja terdapat sebanyak 21 tagal tradisi yang aktif dan perkembangan ini membuktikan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemeliharaan sungai semakin meningkat,” katanya ketika merasmikan Majlis Perasmian Tagal Tradisi Kg. Kuala Sumatalun, Nabawan, di sini pada Khamis.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Pengarah Perikanan (Operasi) Sabah, Lawrence Kissol Jr.
Menurutnya, Pagalungan juga telah mencatat kejayaan apabila salah satu tagalnya iaitu Tagal Kampung Sosogoh, berjaya dibangunkan sebagai tagal eko-pelancongan.
“Sehingga kini terdapat 654 buah tagal di seluruh Sabah melibatkan 232 sungai dengan 43 daripadanya berada dalam kategori Tagal MOU.
“Selain berfungsi sebagai mekanisme pemuliharaan sumber perikanan, sistem tagal juga berpotensi besar menjana ekonomi komuniti menerusi pembangunan eko-pelancongan seperti aktiviti bermain ikan jinak, perkhemahan, sukan memancing dan rekreasi alam semula jadi,” ujarnya.
Tambahnya, Tagal Kampung Kuala Sumatalun mempunyai keistimewaan tersendiri kerana sungainya didiami spesies ikan salarong iaitu spesies yang hanya terdapat di beberapa kawasan sungai tertentu di Sabah.
“Keunikan ini memberi nilai tambah yang besar kepada potensi tagal ini untuk dibangunkan sebagai produk pelancongan komuniti, sekali gus membuka peluang pekerjaan dan menjana pendapatan kepada penduduk setempat,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan komuniti tagal agar sentiasa berwaspada terhadap ancaman penyakit ikan dan perubahan cuaca, susulan beberapa sungai di Sabah dilaporkan mengalami kejadian kematian ikan secara mendadak dalam jumlah besar pada tahun ini.
Katanya, situasi itu dipercayai berpunca daripada jangkitan virus KHV (Koi Herpesvirus) selain faktor musim kemarau yang melanda beberapa kawasan.
Sehubungan itu, beberapa langkah kawalan telah disyorkan termasuk larangan pemindahan ikan dari satu sungai ke sungai lain, selain tidak melepaskan spesies ikan asing ke dalam sungai bagi melindungi spesies ikan tempatan serta mengawal penularan penyakit.
“Bagi mengurangkan kerugian kepada komuniti tagal, Jabatan Perikanan turut mencadangkan pembukaan tagal secara terkawal mengikut kesesuaian semasa,” katanya.
Hadir sama, Pegawai Daerah, Marshal Anthony @ Idham; Ketua Daerah, Philip Antugi dan Pengerusi Tagal Kampung Kuala Sumatalun, Pilin Lumbis.
































