Rina (dua dari kanan) melepaskan acara sukan dalam program sukaneka disaksikan oleh Esther (dua dari kiri).
TAWAU : Kerjasama strategik antara Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) melalui program SmartStart School memperkukuh pembangunan awal kanak-kanak.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Mojungki berkata program tersebut memperlihatkan kesungguhan kedua pihak membentuk generasi muda menjadi cemerlang melalui pendekatan didikan yang relevan.
“Saya berbesar hati untuk menyaksikan program SmartStart School yang mana program ini akan diadakan di enam zon bagi tahun 2026 iaitu Kota Kinabalu, Tawau, Keningau, Beaufort, Kota Marudu serta Sandakan dan majlis peluncuran program SmartStart Tabika Perpaduan telah dilaksanakan pada 11 Mei lalu di Kota Kinabalu.
“Program ini merupakan satu inisiatif yang amat baik dalam memperkukuhkan pembangunan awal kanak-kanak melalui pendekatan pendidikan yang lebih menyeluruh dan relevan dengan keperluan semasa.
“Apa yang lebih membanggakan, SmartStart School tahun 2026 ini hasil kerjasama strategik antara JPNIN dan PEMADAM dan kerjasama ini mencerminkan kesungguhan kedua-dua pihak dalam membentuk generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang pembelajaran tetapi juga mempunyai nilai diri yang tinggi serta daya tahan terhadap pengaruh negatif.
“Melalui program ini, anak-anak akan didedahkan kepada nilai-nilai kehidupan yang positif, pembentukan sahsiah yang baik, kepentingan gaya hidup yang sihat serta pembangunan karakter yang kukuh sejak peringkat awal usia.
“Pendekatan pencegahan melalui pendidikan awal merupakan langkah yang sangat penting dalam usaha melahirkan generasi yang berpengetahuan, berakhlak mulia dan mampu membuat keputusan yang bijak apabila dewasa kelak,” ujarnya ketika berucap merasmikan Sukaneka Perpaduan 2026 Peringkat Negeri Sabah dan Program SmartStart School 2026 di SK Bahagia, di sini pada Sabtu.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Rina Jainal.
Menurutnya lagi, program sukaneka yang berlangsung bukan sekadar aktiviti riadah tetapi merupakan platform yang efektif untuk membentuk sahsiah, meningkatkan keyakinan diri dan memupuk semangat kesukanan dalam kalangan kanak-kanak.
Beliau berkata, melalui aktiviti seumpama itu, anak-anak belajar tentang kerjasama, disiplin, semangat berpasukan dan menghargai usaha rakan-rakan.
Hadir sama, Timbalan Pengarah JPNIN Sabah, Esther Dingkawan dan Setiausaha Majlis Perbandaran Tawau, Siti Nabilah Hadi.
































