Jamawi Jaafar
TENOM: ADUN Melalap, Datuk Jamawi Jaafar menggesa orang ramai supaya tidak menularkan gambar dan video berkaitan insiden buli melibatkan seorang murid perempuan di sebuah asrama sekolah di daerah itu, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada pihak polis.
Beliau berkata, semua pihak perlu menghormati permintaan ahli keluarga mangsa dan para pelajar agar rakaman kejadian itu tidak terus disebarkan.
“Kita serahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Kita harus hormati permintaan ahli keluarga mangsa dan pelajar untuk tidak viralkan gambar dan video tersebut,” katanya ketika dihubungi media.
Jamawi turut berharap semua pihak, khususnya Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pihak sekolah, dapat mempergiatkan usaha kesedaran bagi membendung gejala buli dalam kalangan pelajar.
“Kita mengharapkan kerjasama semua pihak terutamanya PIBG dan sekolah agar mengambil langkah-langkah kesedaran ‘Elakkan Buli’ di sekolah masing-masing agar perkara seperti ini tidak berulang.
“Semoga ianya menjadi pengajaran penting untuk kita semua,” kata Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan itu.
Sementara itu, Polis Daerah Tenom mengesahkan menerima satu laporan berhubung kejadian seorang murid perempuan yang dipercayai menjadi mangsa buli di sebuah asrama sekolah di daerah ini sebagaimana yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Tenom, Superintenden Azmir Abdul Razak berkata, susulan laporan yang diterima pada 23 Jun, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan, Seksyen 507B Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku pada 11 Jun lalu di sebuah asrama sekolah di daerah itu.
“Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan dan telah dirujuk ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau berkata, setakat ini tiga individu telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom bagi membantu siasatan, termasuk pelaku serta individu yang dipercayai terlibat dalam rakaman dan penyebaran video kejadian tersebut.
“Beberapa barang kes turut dirampas bagi tujuan siasatan,” katanya.
Azmir berkata, pihak polis memandang serius sebarang bentuk perbuatan buli, keganasan serta penyebaran kandungan yang boleh mengaibkan atau mengancam mangsa.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan semula video kejadian kerana tindakan itu boleh menjejaskan siasatan serta memberi kesan kepada kebajikan dan emosi mangsa yang masih di bawah umur.
































