James menyampaikan hadiah kepada pelatih terbaik.
KOTA KINABALU: Institusi latihan kemahiran di Sabah perlu lebih proaktif dalam memperkenalkan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang baharu serta relevan dengan keperluan industri semasa, kata Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk James Ratib.
Langkah itu penting bagi memastikan graduan yang dilahirkan kekal berdaya saing dan mudah memperoleh pekerjaan.
Beliau berkata, penyedia latihan perlu sentiasa menyesuaikan penawaran program mengikut perkembangan teknologi serta permintaan semasa pasaran kerja.
“Langkah ini amat penting memandangkan Sabah kini sedang mengalami pertumbuhan pesat dalam sektor perindustrian dan pelaburan yang memerlukan tenaga kerja mahir dalam pelbagai bidang teknikal berteknologi tinggi,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Konvokesyen Institut Latihan Teknik dan Perdagangan (ILTP), Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) Sabah Kali Ke-36 di The Magellan Sutera Resort, di sini, hari ini.
James menegaskan bahawa institusi latihan perlu mengadakan libat urus secara berterusan dengan pemain industri termasuk PETRONAS, Energy Commission of Sabah (ECoS), serta pelabur tempatan dan antarabangsa bagi mengenal pasti keperluan kemahiran semasa sebelum merangka kursus baharu.
Katanya, pendekatan berkenaan bukan sahaja dapat mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja luar, malah membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak tempatan, khususnya dalam sektor tenaga, pembuatan dan industri berat.
“Keberkesanan institusi TVET tidak seharusnya diukur semata-mata berdasarkan jumlah graduan yang dihasilkan, sebaliknya perlu dilihat melalui kadar kebolehpasaran graduan yang berjaya memperoleh pekerjaan yang bersesuaian dengan kemahiran masing-masing,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau mahu institusi latihan mempertingkatkan pemantauan terhadap kebolehpasaran graduan serta memperluaskan jaringan kerjasama strategik dengan agensi dan syarikat industri bagi membantu graduan mendapatkan pekerjaan atau menceburi bidang keusahawanan.
Terdahulu, seramai 146 graduan daripada pelbagai program teknikal dan perdagangan menerima sijil masing-masing pada Majlis Konvokesyen ILTP JPSM Sabah Kali Ke-36.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pembantu Menteri Pendidikan, Sains dan Teknologi, Jordan Jude Ellron; Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Hassan Mahali; serta Pengarah Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM), Dr Kamsiah Ibrahim.
































