Suasana sesi pembelajaran Bahasa Inggeris dalam program English For Employability di Dewan Muhibbah Kampung Molisau, Tenghilan.
TAMPARULI: Lebih 40 penduduk Kampung Molisau, Tenghilan mengambil peluang memanfaatkan masa lapang mereka dengan menyertai program English For Employability yang diadakan di Dewan Muhibbah Kampung Molisau sejak minggu lalu.
Program yang berlangsung selama lima minggu itu memberi peluang kepada peserta mempelajari asas Bahasa Inggeris, sekali gus meningkatkan kemahiran komunikasi dan keyakinan diri dalam penggunaan bahasa berkenaan.
Dalam era globalisasi dan perkembangan teknologi masa kini, penguasaan Bahasa Inggeris bukan lagi sekadar nilai tambah, malah menjadi keperluan penting dalam bidang pendidikan, pekerjaan, perniagaan serta komunikasi antarabangsa.
Program berkenaan turut membuktikan bahawa masa lapang boleh dimanfaatkan dengan aktiviti berfaedah yang mampu membawa perubahan positif kepada kehidupan seseorang.
Ketika ramai memilih menghabiskan waktu malam atau hujung minggu dengan melayari media sosial atau bermain permainan video, peserta program itu memilih untuk menambah ilmu dan meningkatkan kemahiran komunikasi mereka.

Tenaga pengajar program, Caroline Duliat yang juga anak jati Kampung Molisau berkata, beliau berbangga melihat kesungguhan peserta yang hadir secara konsisten mengikuti kelas berkenaan.
Menurutnya, sambutan yang diterima menunjukkan masyarakat semakin sedar tentang kepentingan Bahasa Inggeris dalam kehidupan seharian dan dunia pekerjaan.
“Bahasa Inggeris bukan sahaja membantu seseorang mendapatkan pekerjaan yang lebih baik, tetapi juga meningkatkan keyakinan diri untuk berkomunikasi dan berinteraksi dengan masyarakat yang lebih luas,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Molisau, Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPSTI) serta AMC University College atas usaha menjayakan program berkenaan.
Komitmen Caroline yang sanggup berulang-alik dari Kota Belud untuk mengendalikan kelas itu turut mendapat penghargaan daripada penduduk kampung.
Sementara itu, Pengerusi JKKK Kampung Molisau, Elexter Duari berkata, program sedemikian wajar diteruskan kerana mampu memberi manfaat besar kepada masyarakat setempat, khususnya golongan muda.
Beliau berkata, pengisian masa lapang dengan aktiviti pembelajaran dapat membantu membentuk generasi yang lebih berilmu, berdisiplin dan berkeyakinan.
“Daripada anak-anak kita menghabiskan terlalu banyak masa bermain telefon atau permainan video, lebih baik mereka mengikuti program seperti ini yang dapat meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran mereka,” katanya.
Bagi salah seorang peserta, Nancy Julian, 53, kelas tersebut membantu beliau mengatasi rasa malu untuk bertutur dalam Bahasa Inggeris.
“Sebelum ini saya takut untuk bercakap dalam Bahasa Inggeris kerana bimbang tersalah sebut. Namun selepas mengikuti kelas ini, saya semakin yakin untuk mencuba dan berkomunikasi,” katanya.
Seorang lagi peserta, Sadiona Rudy, 15, berkata, beliau mengambil peluang mengikuti kelas itu walaupun belum berusia 18 tahun kerana amat meminati mata pelajaran Bahasa Inggeris.
Program itu bukan sahaja disertai golongan dewasa dan belia, malah turut menarik minat pelajar sekolah rendah dan menengah yang sanggup meluangkan masa pada waktu malam untuk belajar.
Kejayaan program English For Employability di Kampung Molisau membuktikan bahawa pembelajaran tidak mengenal usia dan masyarakat sanggup berusaha meningkatkan taraf hidup apabila diberi peluang serta ruang untuk menimba ilmu.
Program berkenaan diharapkan menjadi contoh kepada komuniti lain untuk menggalakkan budaya pembelajaran sepanjang hayat demi melahirkan masyarakat yang lebih berdaya saing, berpengetahuan dan bersedia menghadapi cabaran dunia moden.
































