Mustapha Sakmud
KOTA KINABALU: Pengumuman penurunan harga diesel bersubsidi kepada RM2.10 seliter bermula Julai 2026 membuktikan reformasi ekonomi dan langkah penyasaran subsidi yang dilaksanakan Kerajaan MADANI mula memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, pelaksanaan mekanisme subsidi bersasar melalui penggunaan MyKad memastikan subsidi disalurkan kepada rakyat Malaysia yang benar-benar layak.
Menurutnya, pendekatan itu bukan sahaja menjamin bantuan sampai kepada golongan sasaran, malah membantu mengurangkan ketirisan dan kegiatan penyeludupan yang sekian lama menjejaskan keberkesanan sistem subsidi negara.
“Pengumuman penurunan harga diesel bersubsidi kepada RM2.10 seliter mulai Julai 2026 membuktikan bahawa reformasi ekonomi dan langkah penyasaran subsidi yang dilaksanakan Kerajaan MADANI kini mula memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat.
“Pelaksanaan mekanisme subsidi bersasar melalui penggunaan MyKad bukan sahaja memastikan subsidi sampai kepada rakyat Malaysia yang layak, malah membantu mengurangkan ketirisan dan penyeludupan yang telah sekian lama menjejaskan keberkesanan sistem subsidi negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mustapha berkata, langkah berkenaan dilaksanakan ketika dunia masih berdepan ketidaktentuan geopolitik dan tekanan terhadap pasaran tenaga global.
Katanya, konflik yang berterusan di Asia Barat menuntut setiap negara mengambil pendekatan lebih strategik bagi menjamin keselamatan tenaga serta kestabilan ekonomi masing-masing.
Dalam konteks itu, beliau berkata, usaha Malaysia memperkukuh kerjasama tenaga dengan negara seperti Russia dan Turkmenistan menunjukkan komitmen Kerajaan dalam memastikan ketahanan tenaga negara terus diperkukuhkan bagi jangka panjang.
Menurutnya, jaminan bekalan tenaga yang diperoleh melalui hubungan strategik dengan negara-negara pengeluar tenaga utama turut membantu negara menghadapi cabaran ketidaktentuan pasaran tenaga global.
“Usaha Malaysia memperkukuh kerjasama tenaga dengan negara seperti Russia dan Turkmenistan serta jaminan bekalan tenaga yang diperoleh melalui hubungan strategik dengan negara pengeluar tenaga utama membuktikan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh ketahanan tenaga negara untuk jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata, penurunan harga diesel itu juga mencerminkan keberkesanan dasar luar negara, hubungan antarabangsa serta kecekapan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mengurus ekonomi negara secara berhemah.
Katanya, hasil reformasi yang dilaksanakan Kerajaan berjaya membantu mengawal tekanan kos sara hidup yang dihadapi rakyat.
“Penurunan harga diesel ini juga mencerminkan dasar luar, hubungan antarabangsa serta kecekapan pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mengurus ekonomi negara secara berhemah, di mana hasil reformasi yang dilaksanakan berjaya mengawal beban kos sara hidup rakyat,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan akan terus komited melaksanakan reformasi yang mampu meningkatkan kesejahteraan rakyat sambil memastikan pengurusan kewangan negara kekal mampan dan berdaya tahan.
































