KOTA KINABALU: Satu delegasi daripada Sabah Energy Corporation Sdn. Bhd. (SEC) mengadakan kunjungan hormat kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun (Dr.) Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, di sini.
Delegasi SEC itu diketuai oleh Pengerusinya, Datuk Annuar Ayub dan diiringi Timbalan Pengerusi, Datuk Hassan A. Gani Pg. Amir; Ahli Lembaga Pengarah merangkap Pengerusi Asian Supply Base (ASB), Datuk Indera Suhaili Abdul Rahman; Ahli-ahli Lembaga Pengarah serta barisan pengurusan tertinggi syarikat.
Turut menyertai kunjungan tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEC, Datuk Ir. Ts. Adzmir Abd. Rahman.
Kunjungan hormat itu bertujuan memperkenalkan barisan kepimpinan SEC kepada Tun Musa di samping membentangkan agenda strategik syarikat dalam menyokong pembangunan sektor tenaga dan ekonomi negeri.
Dalam sesi taklimat kepada Tun Musa, Adzmir menggariskan peranan penting serta inisiatif berterusan SEC dalam memacu pembangunan sektor tenaga Sabah.
Beliau berkata, SEC komited menggalakkan pertumbuhan industri yang mampan serta menerajui pembangunan sosioekonomi negeri secara menyeluruh selaras dengan kerangka pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Menurutnya, syarikat itu terus memainkan peranan strategik dalam menyokong aspirasi Kerajaan Negeri untuk memperkukuh keselamatan tenaga, merangsang aktiviti ekonomi dan mewujudkan peluang pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat.
Pada masa sama, beliau turut berkongsi rekod prestasi kecemerlangan SEC dari segi daya maju komersial dan tadbir urus korporat yang mantap.
Katanya, Kumpulan Syarikat SEC secara konsisten berjaya mencatatkan keuntungan tahunan yang sihat selain memberikan pulangan dividen yang kukuh kepada Kerajaan Negeri.
Beliau berkata, pencapaian itu mencerminkan keupayaan SEC untuk mengimbangi tanggungjawab komersial dengan peranannya sebagai syarikat berkaitan kerajaan yang menyumbang kepada pembangunan negeri.
Kunjungan hormat tersebut turut menjadi platform bagi SEC berkongsi perkembangan semasa syarikat serta memperkukuhkan hubungan institusi dengan Istana Seri Kinabalu.
Ia juga mencerminkan komitmen berterusan SEC dalam memastikan agenda pembangunan sektor tenaga negeri dilaksanakan secara mampan, progresif dan sejajar dengan aspirasi Sabah Maju Jaya.
































