Hajiji bersama Ahli-ahli Majlis Tertinggi GRS sebelum bermulanya mesyuarat petang tadi.
KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memperkemaskan persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dengan melantik enam pengerusi zon bagi menyelaras gerak kerja dan memantau kesiapsiagaan jentera parti di seluruh Sabah.
Pengerusi GRS Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, pelantikan pengerusi zon bertujuan melaksanakan naziran serta mendapatkan laporan berkaitan persiapan bahagian-bahagian GRS mengikut kawasan yang ditetapkan.
“Dalam mesyuarat ini, kita membincangkan persiapan menghadapi pilihan raya umum akan datang. Untuk menghadapi pilihan raya umum ini, kita memperkemaskan jentera parti kita di semua kawasan Parlimen di Sabah.
“Untuk persiapan ini, kita juga telah melantik enam pengerusi zon di Sabah. Tujuannya ialah untuk melaksanakan naziran ataupun mendapatkan maklumat laporan persiapan bahagian-bahagian mengikut zon,” katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi GRS yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.
Hajiji yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata, Zon 1 yang meliputi Kudat, Kota Marudu, Kota Belud dan Tuaran dipengerusikan beliau sendiri.
Katanya, Zon 2 yang merangkumi Sepanggar, Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan dipengerusikan Datuk Seri Masidi Manjun yang juga Timbalan Pengerusi GRS dan Timbalan Presiden Gagasan Rakyat, manakala Zon 3 melibatkan Papar, Kimanis, Beaufort dan Sipitang dipengerusikan Timbalan Pengerusi GRS dan Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Tan Sri Anifah Aman.
Bagi Zon 4 yang meliputi Ranau, Keningau, Pensiangan dan Tenom, ia dipengerusikan Timbalan Pengerusi GRS dan Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.
Sementara itu, Zon 5 yang merangkumi Sandakan, Batu Sapi, Libaran, Beluran dan Kinabatangan dipengerusikan Timbalan Pengerusi GRS dan Presiden Liberal Democratic Party (LDP), Datuk Chin Su Phin, manakala Zon 6 melibatkan Tawau, Kalabakan, Lahad Datu dan Semporna dipengerusikan Tan Sri Liew Yun Fah, Timbalan Pengerusi GRS dan Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS).
Hajiji berkata, semua presiden parti komponen yang dilantik akan mengetuai zon masing-masing sebagai persiapan awal menghadapi pilihan raya Parlimen.
Menurutnya, walaupun tempoh Parlimen semasa hanya akan berakhir pada penghujung tahun depan, GRS perlu membuat persediaan lebih awal.
“Walaupun tempoh Parlimen ini akan berakhir akhir tahun hadapan, tetapi kita di Sabah mesti bersedia.
“Yang dititikberatkan ialah kerjasama dan perpaduan dalam kalangan parti-parti komponen GRS serta parti-parti rakan dalam Kerajaan Perpaduan di Sabah. Ini amat penting kerana kita mahu menang besar dalam pilihan raya Parlimen akan datang,” katanya.
Sementara itu, Hajiji mengumumkan Majlis Tertinggi GRS turut bersetuju sebulat suara menerima Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) sebagai ahli gabungan baharu GRS.
Beliau berkata, keputusan itu selaras dengan perjuangan GRS yang berteraskan konsep “Sabah First, Sabah United” serta usaha memperkukuh parti-parti tempatan di negeri ini.
“Kita telah bersetuju sebulat suara untuk menerima UPKO sebagai ahli gabungan baharu GRS.
“Dengan penerimaan ini, ia sejajar dengan perjuangan GRS sendiri iaitu ‘Sabah First, Sabah United’ dan untuk memberi kekuatan kepada parti-parti gabungan tempatan ini.
“Kita mahu mewujudkan kestabilan kerajaan di peringkat negeri yang sedia ada,” katanya.
Hajiji berkata, keanggotaan UPKO dalam GRS berkuat kuasa serta-merta selepas mendapat persetujuan sebulat suara daripada semua parti komponen.
“Bermula pada hari ini, UPKO menjadi ahli GRS secara rasmi dan perkara itu akan dimaklumkan kepada UPKO selepas ini.
“Semua setuju. Kita mahu menguatkan GRS. Jadi tiada cerita mengenai kebimbangan atau perkara lain setakat ini,” katanya.
Ketika ditanya mengenai persiapan menghadapi pilihan raya, Hajiji berkata, GRS akan memilih calon yang mempunyai peluang terbaik untuk memenangi kerusi yang ditandingi.
“Kita akan cari siapa yang boleh menang. Itu pendirian GRS,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa semua parti komponen GRS ketika ini menggunakan lambang GRS, manakala sebarang keputusan melibatkan rakan-rakan lain dalam kerajaan bagi menghadapi PRU masih belum diputuskan.


































