Zainudin Aman
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri telah meluluskan pelantikan Datuk Zainudin Aman sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah yang baharu, berkuat kuasa pada 29 Jun 2026.
Zainudin, yang juga Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, akan menggantikan Datuk Seri Sr. Safar Untong yang tamat tempoh perkhidmatannya sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri pada 28 Jun 2026.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, pelantikan itu diharap dapat terus memperkukuh Perkhidmatan Awam Negeri Sabah agar kekal progresif dan berdaya saing dalam memacu transformasi pentadbiran negeri ke arah kemajuan serta kecemerlangan yang berterusan.
Beliau berkata, langkah itu juga akan membantu memastikan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan berjalan dengan berkesan demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat serta negeri.
Hajiji turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Datuk Seri Panglima Sr Haji Safar atas khidmat bakti, komitmen, profesionalisme dan integriti yang cemerlang sepanjang beliau memegang jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri sejak tahun 2019.
Sementara itu, Safar turut dilantik sebagai Pengerusi Tanjung Aru Eco Development Sdn Bhd (TAED), sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah Jabatan Ketua Menteri, berkuat kuasa 1 Jun 2026.


































