James menyampaikan anugerah Tokoh Reformasi Pendidikan Negeri Sabah kepada Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin pada majlis tersebut.
KOTA KINABALU: Kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan dalam sektor pendidikan di Sabah perlu terus diperkukuh bagi memastikan pelaksanaan dasar serta pembangunan pendidikan dapat diselaraskan dengan lebih berkesan.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, hubungan yang lebih erat antara kedua-dua pihak penting bagi memastikan perkongsian maklumat berjalan lancar, sekali gus membolehkan pelbagai isu berkaitan pendidikan ditangani dengan lebih cepat dan menyeluruh.
Menurut beliau, penambahbaikan kerjasama itu bukan bermakna hubungan sedia ada tidak memadai, sebaliknya bertujuan memperkukuhkan saluran komunikasi supaya kerajaan negeri sentiasa mendapat maklumat terkini mengenai perkembangan sektor pendidikan, termasuk projek sekolah yang mengalami kelewatan atau terbengkalai.
“Kita mahu kolaborasi antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan dipereratkan lagi supaya segala maklumat dan informasi dapat dikongsi dengan lebih baik. Dengan itu, Kerajaan Negeri dapat memahami isu yang berlaku dan membantu mencari penyelesaian bersama pihak berkaitan,” katanya ketika ditemui media selepas hadir mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik (MEKAR) Ke-14 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
James berkata, isu seperti projek sekolah terbengkalai memerlukan kerjasama rapat antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan punca permasalahan dapat dikenal pasti serta diselesaikan dengan segera.
Katanya, Kerajaan Negeri mempunyai peranan penting dalam membantu melancarkan pelaksanaan projek pembangunan pendidikan memandangkan beberapa aspek pentadbiran dan kawal selia masih berada di bawah bidang kuasa negeri.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya sebarang prosedur atau peraturan yang boleh melambatkan aliran komunikasi antara pegawai di peringkat negeri dan Persekutuan diteliti semula bagi meningkatkan kecekapan penyampaian maklumat.
“Apabila komunikasi lebih lancar, setiap isu yang timbul dapat dikenal pasti lebih awal dan tindakan penyelesaian dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan demi kepentingan sektor pendidikan di Sabah,” katanya.




























