PENAMPANG: Polis mengesahkan penemuan mayat seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun di kawasan hutan Kampung Togudon, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang menerima laporan berhubung penemuan mayat itu pada pagi Isnin.
Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati mangsa ditemukan dalam keadaan terbaring di atas laluan kebun di kawasan hutan berkenaan oleh penduduk kampung kira-kira jam 6 pagi.
“Siasatan lanjut mendapati mangsa kali terakhir dilihat oleh ahli keluarganya pada petang 10 Jun lalu sebelum memasuki kawasan hutan bagi memeriksa dan menjaga pukat kelawar miliknya,” katanya dalam satu kenyataan.
Sammy berkata, pemeriksaan di lokasi kejadian menemukan sebuah mesin pemotong kayu (chainsaw) serta beberapa barangan peribadi milik mangsa berhampiran tempat mayat ditemukan.
“Berdasarkan pemerhatian awal di lokasi kejadian, mangsa dipercayai mengalami kecederaan parah akibat dibidas oleh pokok yang ditebang sendiri semasa menjalankan aktiviti di kawasan tersebut,” katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan tempat kejadian telah dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Penampang bersama Pasukan Forensik D10, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.
“Hasil pemeriksaan mendapati tiada unsur jenayah dikesan yang boleh dikaitkan dengan kejadian ini,” katanya.
Menurut Sammy, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk tujuan bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian.
Katanya, kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan bedah siasat dan siasatan lanjut.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis.
“Orang ramai juga diminta supaya tidak menyebarkan gambar atau video kejadian bagi menghormati sensitiviti keluarga serta waris mangsa,” katanya.
Beliau turut meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Ahmad Amir Fitri Ab. Rahman di talian 016-4492215 atau menghubungi IPD Penampang di talian 088-712222.




























