Dr. Joachim (duduk, tengah) bersama Presiden IEM, Ir. Yau Chau Fong (duduk, dua dari kiri), Pengerusi baharu IEM Sabah, Ir. Ts. Tan K.J. (duduk, tiga dari kiri), Pengerusi IEM Sabah yang tamat tempoh, Datuk Ir. Ts. Mohd. Yaakob Jaafar (duduk, tiga dari kanan), serta ahli jawatankuasa baharu IEM Sabah.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menggesa Institut Jurutera Malaysia (IEM) Sabah memainkan peranan utama dalam memacu inovasi serta mempercepatkan penerapan Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) di negeri ini.
Beliau berkata, usaha itu termasuk memajukan kejuruteraan digital, infrastruktur pintar dan teknologi hijau bagi meletakkan Sabah pada landasan yang kukuh untuk menghadapi ekonomi masa depan.
“Melalui profesionalisme dan integriti, IEM Sabah akan mengangkat jurutera sebagai tonggak masyarakat yang diyakini. Ini bukan sekadar kerjasama, tetapi satu misi bersama untuk membina masa depan Sabah,” katanya pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-51 IEM Sabah di sini malam tadi. Ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.
Hajiji berkata, beliau yakin IEM Sabah akan memainkan peranan yang lebih aktif dalam bekerjasama dengan Kerajaan Negeri bagi memastikan standard tertinggi dari segi kualiti projek, keselamatan dan kelestarian dapat dicapai.
“Ini termasuk mempercepatkan pembangunan jurutera tempatan ke arah memperoleh status Jurutera Profesional (PE) serta membina tenaga kerja kejuruteraan yang kukuh dan berdikari untuk Sabah,” katanya.
Ketua Menteri berkata, jurutera pada masa kini bukan sahaja berperanan sebagai pembina negara, malah sebagai arkitek penyelesaian dan rakan strategik dalam tadbir urus.
Beliau berkata, menerusi pelan hala tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0), Kerajaan Negeri telah menetapkan agenda yang berani dan transformatif dengan keutamaan yang jelas, termasuk memperkukuh kesalinghubungan infrastruktur, mempercepatkan pertumbuhan industri dan ekonomi, memastikan pengurusan sumber yang mampan serta memperkasa modal insan berkualiti tinggi.
“Kita tidak mampu mencapai semua ini secara bersendirian. Kerjasama dan usaha anda amat penting untuk menggerakkan agenda ini demi kesejahteraan negeri dan rakyat kita.
“Kerajaan Negeri melihat IEM Sabah bukan sekadar sebuah badan profesional, tetapi sebagai rakan strategik dalam pembangunan. Pada masa hadapan, kerjasama ini perlu diperkukuhkan dengan matlamat yang lebih jelas dan impak yang lebih besar,” katanya.
Hajiji turut berharap IEM Sabah akan terus melahirkan jurutera yang bukan sahaja cemerlang dari segi teknikal dan berpandangan jauh, malah berpegang teguh kepada etika, bertanggungjawab secara profesional serta mampu bersaing di peringkat global tanpa mengabaikan keperluan Sabah.
“Ini adalah pelaburan kita terhadap generasi muda untuk menjadi arkitek kepada fasa pertumbuhan Sabah yang seterusnya,” katanya.




























