Anwar diringi Hajiji menerima taklimat projek pada Majlis Peluncuran Projek Sabah Southern MADANI Link di Kompleks Persatuan Kebudayaan Lundayeh, Sipitang hari ini.
SIPITANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Projek Sabah Southern MADANI Link merupakan inisiatif strategik yang akan memastikan manfaat pembangunan dan bekalan tenaga dapat dinikmati rakyat sehingga ke kawasan pedalaman Sabah.
Beliau berkata, projek yang merentasi kawasan hutan di selatan Sabah itu bukan sekadar projek infrastruktur tenaga, malah menjadi simbol komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan pembangunan dilaksanakan secara adil dan menyeluruh tanpa meminggirkan kawasan luar bandar.
“Projek ini bukan kecil maknanya. Ia menembusi hutan belantara di selatan Sabah, tetapi ia memberikan ruang dan makna pembangunan dalam negara MADANI yang adil.
“Kita boleh bercakap soal memacu pertumbuhan, tetapi selagi manfaat pembangunan itu tidak sampai ke seluruh pelusuk negeri, dari bandar yang pesat membangun hingga ke daerah paling terpencil, pembangunan itu tidak akan memberi kesan sebenar kepada rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Projek Sabah Southern MADANI Link di Dewan Persatuan Kebudayaan Lundayeh, di sini, hari ini.
Anwar berkata, Kerajaan sentiasa memberi penekanan kepada pembangunan yang seimbang antara bandar dan luar bandar, termasuk di Sabah dan Sarawak yang masih memerlukan perhatian khusus dalam aspek kemudahan asas.
Menurut beliau, projek tenaga seperti Sabah Southern MADANI Link amat penting ketika dunia berdepan ketidaktentuan bekalan tenaga susulan konflik geopolitik yang memberi kesan kepada pasaran minyak dan gas global.
“Dunia hari ini berdepan kerunsingan akibat kekurangan tenaga. Apabila berlaku konflik dan gangguan kepada laluan bekalan tenaga dunia, harga tenaga melonjak dan bekalan tidak lagi terjamin.
“Sebab itu soal tenaga dan elektrik bukan lagi perkara kecil, sebaliknya menjadi isu kritikal yang menentukan daya tahan ekonomi sesebuah negara,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia bernasib baik kerana masih mampu mengekalkan harga bahan api pada kadar yang berpatutan walaupun berdepan tekanan ekonomi global.
Dalam masa sama, Anwar berkata, kestabilan politik dan hubungan baik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri merupakan faktor penting dalam memastikan agenda pembangunan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
“Saya mohon rakyat Sabah terus memberi kerjasama supaya hubungan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan kekal baik.
“Untuk apa hubungan itu baik? Untuk membangunkan rakyat. Jika politik tidak stabil, pelabur tidak akan datang dan perhatian terhadap pembangunan akan terganggu,” katanya.
Anwar turut memuji kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang sentiasa menekankan keperluan memastikan pembangunan sampai ke seluruh daerah termasuk kawasan pedalaman Sabah.
Beliau berkata, Sabah masih memerlukan pelaburan pembangunan yang besar memandangkan terdapat kawasan yang masih berdepan cabaran dari segi jalan raya, bekalan elektrik dan bekalan air.
“Apabila ada yang mempersoalkan mengapa peruntukan pembangunan Sabah dan Sarawak begitu tinggi, mereka tidak memahami cabaran sebenar yang dihadapi rakyat di sini.
“Mereka tidak melihat sendiri keadaan jalan raya, lebuh raya, masalah elektrik dan bekalan air yang masih perlu dipertingkatkan,” katanya.
Menurut beliau, projek Sabah Southern MADANI Link merupakan antara projek yang diberi keutamaan oleh Kerajaan Persekutuan kerana kepentingannya dalam menjamin bekalan elektrik yang stabil dan menyokong pertumbuhan ekonomi negeri.
“Apabila kemudahan ini siap, yang pertama rakyat mendapat manfaat. Kedua, bekalan tenaga dapat disediakan pada kadar yang munasabah dan yang ketiga ia menjamin pertumbuhan ekonomi.
“Siapa mahu datang melabur jika bekalan elektrik tidak stabil atau tidak mencukupi untuk menjana aktiviti industri?” katanya.
Anwar berkata, projek itu turut memainkan peranan penting dalam agenda tenaga serantau menerusi pembangunan ASEAN Power Grid yang menghubungkan sistem tenaga antara negara-negara ASEAN.
Katanya, Sabah bakal memainkan peranan strategik dalam rangkaian tenaga serantau apabila sistem grid negeri itu dihubungkan dengan Sarawak, Kalimantan dan Selatan Filipina pada masa depan.
“Kita bukan lagi bercakap tentang Sabah sahaja. Kita bercakap tentang bagaimana kekuatan grid Sabah akan menjadi sebahagian daripada jaringan tenaga serantau.
“Ini menjadikan Sipitang dan Sabah mempunyai kedudukan strategik dalam pembangunan tenaga pada peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Sabah Electricity dan semua petugas yang terlibat dalam pelaksanaan projek tersebut, khususnya mereka yang bekerja di kawasan pedalaman dan hutan bagi memastikan bekalan elektrik dapat disalurkan kepada rakyat.
“Saya ucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang terlibat. Tanpa pengorbanan mereka, projek yang merentasi hutan belantara ini tidak mungkin dapat dilaksanakan,” katanya.
Pada majlis yang sama, Anwar turut mengumumkan peruntukan segera sebanyak RM250,000 bagi menaik taraf kemudahan Sekolah Menengah Sipitang.
Beliau mengarahkan pelaksanaan projek itu disegerakan dan tidak ditangguhkan, dengan wakil kerajaan diminta turun ke sekolah berkenaan dalam tempoh dua minggu bagi memastikan kerja-kerja penambahbaikan dapat dimulakan secepat mungkin.






























