Hajiji mengiringi Anwar melakukan gimik peluncuran Projek Sabah Southern MADANI Link di Kompleks Persatuan Kebudayaan Lundayeh, Sipitang hari ini.
SIPITANG: Projek Sabah Southern MADANI Link yang dilancarkan hari ini dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi Sabah dengan menyediakan sistem bekalan elektrik yang lebih stabil, kukuh dan boleh dipercayai bagi memenuhi keperluan pembangunan masa depan negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, projek yang sekian lama dinantikan itu bukan sekadar projek infrastruktur penghantaran elektrik, tetapi merupakan pelaburan strategik yang akan memberi impak besar kepada kestabilan dan kemampanan sektor tenaga Sabah, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi jangka panjang.
Beliau berkata, projek tersebut akan memperkukuh rangkaian penghantaran elektrik negeri, meningkatkan kestabilan sistem grid serta mengurangkan risiko gangguan bekalan yang boleh menjejaskan aktiviti ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Projek ini amat penting dalam membawa Sabah ke fasa pembangunan seterusnya kerana sektor-sektor strategik seperti pembuatan, minyak dan gas, pemprosesan hiliran, pelancongan, pertanian moden, pusat data digital dan industri berasaskan teknologi akan mendapat manfaat daripada bekalan tenaga yang stabil, mencukupi dan berkualiti.
“Justeru, pembangunan sektor tenaga bukan lagi semata-mata untuk memenuhi keperluan semasa, tetapi telah menjadi asas penting dalam perancangan masa depan negeri,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Projek Sabah Southern MADANI Link yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Persatuan Kebudayaan Lundayeh di sini, hari ini.
Hajiji berkata, projek yang diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan itu membuktikan komitmen berterusan Perdana Menteri dalam menyokong agenda pembangunan Sabah, khususnya dalam memenuhi keperluan asas rakyat menerusi penyediaan infrastruktur tenaga yang lebih berdaya tahan.
Beliau berkata, pelaksanaan projek itu juga mencerminkan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam memastikan Sabah memiliki sistem bekalan elektrik yang lebih stabil, kukuh dan boleh dipercayai.
Sementara itu, Hajiji berkata, Kerajaan Negeri telah merangka hala tuju pembangunan sektor tenaga Sabah menerusi Pelan Hala Tuju dan Pelan Induk Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040) yang berpaksikan tiga teras utama iaitu keselamatan tenaga, akses tenaga yang saksama dan kemampanan tenaga.
Katanya, pelan tersebut menjadi panduan utama kerajaan dalam memastikan bekalan tenaga bukan sahaja mencukupi untuk memenuhi permintaan semasa, malah mampu menyokong pertumbuhan ekonomi Sabah dalam jangka panjang.
Beliau menambah bahawa pembangunan sumber tenaga boleh diperbaharui akan terus dipergiatkan memandangkan Sabah mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai hab tenaga hijau di Pulau Borneo.
“Dengan sumber hidro yang melimpah, kadar penyinaran suria yang tinggi sepanjang tahun serta potensi biomas yang luas, Sabah berada pada kedudukan strategik untuk menerajui pembangunan tenaga bersih di rantau ini.
“Potensi ini bukan sahaja mampu menarik pelaburan bernilai tinggi, malah mewujudkan peluang ekonomi baharu serta menjana lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya.
Ketua Menteri berkata, infrastruktur tenaga yang kukuh amat penting bagi menyokong pembangunan kawasan perindustrian strategik seperti Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP), Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) Lahad Datu serta pelbagai zon perindustrian dan hab pertumbuhan ekonomi yang dirancang di seluruh negeri.
Menurutnya, semua kawasan tersebut memerlukan bekalan elektrik yang stabil dan mencukupi bagi menyokong aktiviti perindustrian serta menarik lebih banyak pelaburan domestik dan antarabangsa.
“Projek Sabah Southern MADANI Link bukan sahaja akan meningkatkan kebolehpercayaan bekalan elektrik antara wilayah, malah menyediakan kapasiti yang diperlukan untuk mengintegrasikan lebih banyak sumber tenaga boleh diperbaharui ke dalam sistem grid Sabah pada masa hadapan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas sokongan terhadap pelaksanaan projek berkenaan serta kepada semua pihak yang terlibat dalam merealisasikannya.
“Semoga projek ini menjadi asas kepada masa depan Sabah yang lebih cerah, dengan bekalan tenaga yang stabil, ekonomi yang berkembang pesat dan kemajuan yang dapat dinikmati oleh seluruh rakyat negeri ini,” katanya.






























