KOTA KINABALU: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sabah akan menjalankan siasatan dalaman menyeluruh berhubung dakwaan kematian seekor kucing jantan selepas menjalani prosedur pembedahan kembiri di sebuah klinik veterinar kerajaan.
Dalam satu kenyataan kelmarin, DVS Sabah memaklumkan pihaknya mengambil maklum dan memandang serius dakwaan yang dilaporkan oleh seorang individu bernama thebareloons menerusi hantaran di platform media sosial Threads pada 11 Jun lalu.
Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah, Dr. Zul Bahar Haji Abdul Rashid berkata, siasatan akan dijalankan segera bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian yang melibatkan kucing jantan milik keluarga individu berkenaan.
“Jabatan mengambil maklum dan memandang serius dakwaan yang dilaporkan berhubung insiden kematian seekor kucing jantan selepas menjalani prosedur pembedahan kembiri di klinik veterinar kerajaan.
“Susulan itu, satu siasatan dalaman menyeluruh akan dijalankan segera bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya.
Menurut beliau, siasatan itu akan merangkumi pemeriksaan dokumentasi, semakan terhadap prosedur operasi standard (SOP), penelitian rekod berkaitan serta sesi soal selidik bersama petugas yang mengendalikan keseluruhan proses berkenaan.
“Langkah ini penting bagi memastikan semua aspek berkaitan prosedur yang dijalankan dapat diteliti secara terperinci dan objektif,” katanya.
Bagi melengkapkan siasatan, Dr. Zul Bahar menasihatkan pemilik haiwan berkenaan supaya segera menghantar karkas kucing tersebut ke Makmal Diagnosa Veterinar (MDV) Kepayan untuk proses bedah siasat atau nekropsi.
Katanya, nekropsi amat penting bagi membantu mengenal pasti punca sebenar kematian dan mendapatkan dapatan saintifik yang tepat.
“Bagi memastikan ketepatan diagnosis, tindakan segera perlu diambil kerana karkas yang telah mengalami proses autolisis atau pereputan boleh menjejaskan keputusan pemeriksaan,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara profesional dan telus bagi memastikan semua fakta berkaitan insiden berkenaan dapat dikenal pasti dengan jelas.
“Jabatan komited untuk memastikan setiap aduan yang diterima ditangani secara bertanggungjawab, telus dan berasaskan fakta serta bukti saintifik,” katanya.






























