KOTA KINABALU: Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Hajah Juliah Salag menyempurnakan pelepasan acara 14th Mother’s Day Walk Abreast 2026 yang berlangsung di Taman Awam Teluk Likas, di sini, hari ini. (gambar)
Program tahunan anjuran Sabah Kinabalu Pink Ribbon itu dimulakan dengan sesi senamrobik pada jam 7 pagi sebelum peserta meneruskan acara berjalan kaki sejauh kira-kira 4.8 kilometer.
Seramai 700 peserta mengambil bahagian dalam program yang bertemakan ‘Step by Step, Side by Side’ itu.
Acara berkenaan turut disertai ahli-ahli Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS), ahli keluarga, pemandiri kanser payudara serta komuniti setempat.
Penganjuran program itu bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat di samping meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kanser payudara serta kepentingan sokongan berterusan kepada pesakit dan pemandiri penyakit berkenaan.
Suasana program berlangsung meriah dengan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat yang bersama-sama menunjukkan solidariti dan sokongan kepada usaha meningkatkan kesedaran mengenai kanser payudara.






























