Azizah memotong pulut kuning sempena Hari Ibu bersama ahli jawatan kuasa Biro Kebudayaan dan Sosial PPS di sini semalam.
KOTA KINABALU: Sambutan Hari Ibu bukan sekadar menghargai jasa dan pengorbanan seorang ibu, malah menjadi medan mengiktiraf peranan wanita sebagai tonggak keluarga, masyarakat dan pembangunan negara.
Presiden Perkumpulan Perempuan Sabah (PPS), Datuk Seri Azizah Mohd. Dun berkata, wanita mempunyai kedudukan yang istimewa kerana memainkan pelbagai peranan sebagai ibu, isteri, pemimpin, usahawan dan penggerak masyarakat.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Glamorous Saloma Night sempena Sambutan Hari Ibu 2026 anjuran Biro Kebudayaan dan Sosial PPS yang diketuai Pengerusinya, Annie Lourdes di sini, semalam.
Menurutnya, pemilihan Allahyarhamah Saloma sebagai ikon majlis amat bertepatan kerana penyanyi dan seniwati tersohor negara itu memiliki pelbagai nilai murni yang wajar dicontohi oleh wanita masa kini.
“Saloma bukan sahaja dikenali sebagai anak seni yang hebat, tetapi juga seorang isteri yang setia, wanita yang dermawan, rajin bekerja, rendah diri dan sentiasa menjaga maruah diri serta keluarganya.
“Nilai-nilai ini sangat relevan untuk dijadikan teladan oleh semua wanita dan ibu dalam mendepani cabaran kehidupan masa kini,” katanya.
Azizah turut menzahirkan penghargaan kepada PPS yang terus aktif melaksanakan pelbagai program pembangunan wanita dan kebajikan masyarakat sejak penubuhannya.
Beliau berkata, penganjuran majlis berkonsepkan nostalgia itu bukan sahaja meraikan Hari Ibu, malah menjadi platform mengeratkan silaturahim serta menghimpunkan wanita daripada pelbagai latar belakang dalam suasana penuh harmoni.
“Sebagai wanita, kita perlu sentiasa menghargai diri sendiri, memperkasakan potensi yang ada dan yakin bahawa wanita mampu menjadi pemimpin yang berjaya, usahawan yang cemerlang serta ibu yang menjadi inspirasi kepada keluarga dan masyarakat,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk pertubuhan dan persatuan yang memberikan sokongan dalam menjayakan program berkenaan.
Katanya, kerjasama erat antara pertubuhan wanita perlu terus diperkukuhkan bagi memastikan agenda pemerkasaan wanita di Sabah dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan berkesan.
Azizah menyeru seluruh masyarakat agar terus menghargai jasa dan pengorbanan ibu serta wanita yang banyak menyumbang kepada kesejahteraan keluarga dan pembangunan negeri.
“Apabila kita menghormati dan menghargai diri sendiri sebagai wanita, orang lain juga akan menghormati dan menghargai kita. Wanita adalah kekuatan keluarga dan aset penting kepada kemajuan negeri serta negara,” katanya.






























