Lim (kiri) ketika memberi taklimat mengenai cadangan pembangunan Bandar Baharu Milinium kepada Hajiji sambil diperhatikan Masiung (kanan).
TONGOD: Daerah Tongod yang dikategorikan antara 10 daerah termiskin di Malaysia dijangka mengalami perubahan besar menerusi pembangunan sebuah bandar baharu milinium yang bakal menjadi pemangkin transformasi ekonomi dan pembangunan di kawasan pedalaman itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, kawasan seluas 1,000 ekar berhampiran Pekan Tongod dicadangkan untuk dimajukan menerusi projek berimpak tinggi yang akan dilaksanakan melalui kerjasama antara sektor swasta dan kerajaan negeri.
Menurut beliau, cadangan pembangunan tersebut telah diumumkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor ketika merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Tongod minggu lalu.
Sebelum pengumuman itu dibuat, Hajiji bersama Masiung telah diberi taklimat mengenai projek berkenaan oleh delegasi syarikat Corak Nahkoda Sdn. Bhd. yang diketuai Pengarah Urusannya di Sabah, Robin Lim.
Terdahulu, Ketua Menteri turut merasmikan bangunan Mahkamah Anak Negeri Tongod sebelum menghadiri dan merasmikan sambutan Pesta Kaamatan daerah berkenaan.
Masiung berkata, Corak Nahkoda telah menyatakan kesediaan menyediakan tanah seluas 1,000 ekar bagi membangunkan projek mega yang disifatkan sebagai antara pembangunan paling penting di utara Sabah.
Katanya, daripada jumlah tersebut, kira-kira 200 ekar diperuntukkan untuk membangunkan pusat pentadbiran kerajaan negeri, Persekutuan dan agensi kerajaan yang disusun mengikut konsep mini Putrajaya.
“Jabatan-jabatan kerajaan yang kini berselerak di daerah ini akan ditempatkan di pusat pentadbiran berkenaan yang dilengkapi dengan kemudahan digital dan teknologi maklumat,” katanya.
Menurut Masiung, Tongod kini sedang membuat persediaan untuk memasuki fasa transformasi baharu yang bakal mengubah wajah daerah yang dikenali sebagai ‘The Heart of Sabah’ itu.
Beliau berkata, pembangunan bandar milinium tersebut turut melibatkan pembinaan deretan bangunan kedai dua hingga empat tingkat, pusat beli-belah, stesen minyak, pasar raya dan hotel.
Selain itu, projek berkenaan juga merangkumi pembangunan kawasan perindustrian, perumahan kos sederhana dan mampu milik, hospital serta sekolah.
Katanya, kemudahan lain yang dicadangkan termasuk sebuah lapangan golf dan pelbagai kemudahan rekreasi awam bagi memenuhi keperluan penduduk serta menarik pelaburan ke daerah itu.
Masiung yang juga Pengerusi Kumpulan SEDCO berkata, beliau akan mengadakan pertemuan lanjut dengan pengurusan Corak Nahkoda dan pihak berkepentingan bagi menambah baik cadangan tersebut sebelum draf perjanjian dimuktamadkan dan ditandatangani.
Mengulas lanjut, beliau berkata, projek pembangunan bercampur itu diyakini mampu mengubah status Tongod yang sering dikaitkan sebagai antara daerah termiskin di negara ini.
“Projek mega ini disasarkan untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan dan membuka lebih banyak ruang perniagaan kepada penduduk tempatan,” katanya.
Beliau bagaimanapun menjelaskan bahawa semua komponen pembangunan masih belum dimuktamadkan sepenuhnya dan beberapa projek tambahan yang difikirkan memberi manfaat kepada ekonomi rakyat akan turut dipertimbangkan.
Menurutnya, bandar baharu milinium itu bakal menjadi simbol transformasi moden yang mampu merapatkan jurang pembangunan di kawasan pantai timur Sabah.
“Apabila projek ini dapat direalisasikan sepenuhnya dalam tempoh lima tahun akan datang, ia dijangka menamatkan status Tongod sebagai daerah yang dikategorikan antara paling miskin di negara ini,” katanya.
































