Gelvia (tengah) bergambar bersama Juje (kanan) dan Criszelbellkah (kiri) selepas majlis penyampaian hadiah.
PENAMPANG: Unduk Ngadau Papar, Gelvia Vanessa Jenny dinobat sebagai Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) Peringkat Negeri Tahun 2026.
Gelvia yang menewaskan 53 peserta lain membawa hadiah wang tunai, mahkota, trofi dan sash serta pelbagai hadiah iringan.
Manakala, tempat kedua dimenangi oleh Unduk Ngadau Tuaran, Juje Elor Francis dan Unduk Ngadau Matunggong, Criszelbellkah Lorris di tempat ketiga.
Sementara itu, tempat keempat hingga ketujuh masing-masing dimenangi oleh Unduk Ngadau Daerah Bandaraya Kota Kinabalu, Liane Melve Grace Lias, Unduk Ngadau Daerah Pagalungan Kerishine Danil, Unduk Ngadau Daerah Penampang Gadrette Gregory dan Unduk Ngadau Daerah Sook Myra Evana Robert.
Pertandingan berkenaan merupakan acara kemuncak bagi sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 yang berlangsung di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di sini, pada Ahad.
Penyampaian hadiah disempurnakan oleh isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Faridah Tussin diiringi isteri Ketua Menteri, Datin Seri Datuk Juliah Salag dan Penasihat Jawatankuasa Unduk Ngadau Kaamatan Negeri Sabah 2026, Tindarama Datuk Joanna Kitingan.






























