Hajiji (tengah), diapit oleh Menteri Kanan Kerajaan Diraja Kemboja, Dr. Chhem Kieth Rethy (kiri) dan Pengerusi KSI Strategic Institute for Asia Pacific, Tan Sri Majid Khan, semasa tiba di WGSS di Shangri-La Tanjung Aru Resort hari ini.
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri mengamalkan pendekatan pertumbuhan seimbang dalam menangani isu alam sekitar dan pembangunan di Sabah, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
“Sabah tidak mahu pembangunan yang merosakkan alam sekitar. Namun, Sabah juga tidak boleh menerima pendekatan idealisme alam sekitar yang melambatkan kemajuan rakyat.
“Kita mesti menolak kedua-dua ekstrem ini. Kita tidak mahu pembangunan secara melulu. Tetapi kita juga tidak mahu peralihan yang tidak realistik. Jalan ke hadapan bagi Sabah ialah model pertumbuhan seimbang.
“Itulah pertumbuhan dengan disiplin; pemuliharaan dengan nilai; pelaburan dengan tanggungjawab; peralihan tenaga dengan kemampuan; dan kelestarian dengan keadilan,” katanya ketika merasmikan Sidang Kemuncak Hijau dan Kelestarian Dunia (WGSS) di Shangri-La Tanjung Aru Resort di sini hari ini.
Hajiji berkata, walaupun Sabah merupakan sebuah negeri kecil dalam sebuah negara kecil, ia memiliki kekuatan dan aset yang semakin bernilai dalam dunia masa kini.
“Kita dikurniakan modal semula jadi yang kaya serta biodiversiti luar biasa. Kita mempunyai sumber darat dan maritim yang luas, potensi tenaga, kedudukan geografi strategik dan kestabilan politik. Paling penting, kita mempunyai generasi muda yang bersedia membentuk ekonomi masa depan.
“Peluang yang ada di hadapan Sabah amat besar. Sabah telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam melindungi hutan simpan, memelihara biodiversiti bertaraf global dan mengekalkan antara kadar kawasan perlindungan tertinggi di rantau ini.
“Hari ini, Sabah diiktiraf sebagai peneraju dalam pemuliharaan, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di seluruh Asia Tenggara, sekali gus meletakkan Sabah pada kedudukan kukuh untuk menarik pelaburan bertanggungjawab dan mampan,” katanya.
Hajiji berkata, fasa seterusnya pertumbuhan hijau Sabah adalah menuju kepada konsep “pemuliharaan dengan nilai”.
“Kita sedang beralih daripada sekadar melindungi sumber kepada membangunkan industri bertanggungjawab berasaskan sumber tersebut. Kita juga beralih daripada sekadar penyumbang hijau kepada peneraju ekonomi hijau.
“Ini termasuk membangunkan pasaran karbon yang berwibawa dan memberi manfaat kepada Sabah, menarik pelaburan hijau berkualiti yang menjana nilai ekonomi sebenar, serta memperkembangkan industri tenaga boleh diperbaharui, pertanian mampan, ekonomi biru, eko-pelancongan dan inovasi berasaskan biodiversiti.
“Ia juga bermaksud memastikan syarikat tempatan, tenaga kerja tempatan dan komuniti setempat menjadi sebahagian daripada rantaian nilai,” katanya.
Beliau berkata, jauh sebelum kelestarian menjadi agenda global, Sabah telah mengambil langkah melindungi hutan, lautan, hidupan liar dan ekosistem yang kaya di rantau ini.
“Hari ini, hampir 30 peratus keluasan tanah Sabah diwartakan sebagai Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA), yang merupakan satu komitmen besar,” katanya.
Hajiji berkata, WGSS menjadi platform penting untuk membincangkan isu kelestarian yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat dan masa depan generasi muda.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kelestarian tidak boleh hanya kedengaran baik di dewan persidangan, tetapi mesti dilaksanakan secara praktikal di peringkat akar umbi.
“Peralihan hijau yang terlalu mahal untuk keluarga biasa bukanlah sesuatu yang mampan. Dasar yang melindungi masa depan tetapi membebankan masa kini perlu diteliti dengan berhati-hati.
“Model pembangunan yang dilihat baik di peringkat antarabangsa tetapi melemahkan daya saing tempatan bukanlah model yang sesuai untuk Sabah. Bagi Sabah, kelestarian mesti bersifat praktikal, adil, mampu dilaksanakan dan yang paling penting, memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.




























