KOTA KINABALU: Cabaran ekonomi global yang melanda ketika ini tidak menjejaskan penganjuran Karnival Keusahawanan Asas Pembudayaan Keusahawanan (APK) Universiti Malaysia Sabah (UMS), apabila program itu terus menerima sambutan memberangsangkan daripada mahasiswa serta komuniti keusahawanan tahun ini.
Karnival yang membuka tirainya pada 19 Mei 2026 itu berlangsung di Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB), UMS, dan dirasmikan oleh Timbalan Pengarah TVETMARA Kota Kinabalu, Razimah Mohamad.
Turut hadir pada majlis perasmian ialah Pengarah Program, Dr. Kelvin Yong; Dr. Adeline Tam Yin Ling yang mewakili Dekan PPIB, Prof. Datuk Dr. Ismail Ali; serta Prof. Madya Ts. Dr. Sidah Idris sebagai tetamu undangan.
Penganjuran Karnival APK tahun ini mencatat pencapaian bermakna apabila genap 20 tahun pelaksanaan program itu sejak diperkenalkan pada 2006.
Menurut penganjur, APK menjadi antara platform penting dalam membentuk pemikiran kreatif, inovatif dan berdaya saing dalam kalangan mahasiswa UMS.
“Program ini memberi peluang kepada pelajar menguji idea perniagaan, membina keyakinan diri serta memahami realiti sebenar dunia perniagaan,” menurut kenyataan penganjur.
Karnival tahun ini menghimpunkan 198 vendor, melibatkan 191 vendor mahasiswa APK UMS dan tujuh vendor jemputan luar.
Selain menjadi medan jualan, karnival itu turut berperanan sebagai ruang pembelajaran praktikal kepada mahasiswa untuk mengasah kemahiran komunikasi, pemasaran digital, pengurusan kewangan, kerja berpasukan dan penyelesaian masalah.
Kejayaan penganjuran Karnival Keusahawanan APK sekali gus memperkukuh peranan PPIB UMS dalam menyokong agenda pembudayaan keusahawanan mahasiswa, selari dengan usaha melahirkan graduan berdaya saing, inovatif serta bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan dan perniagaan masa hadapan.
































