Ewon Benedick
KOTA KINABALU: Karnival Usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Sabah Zon Tenom berjaya merekodkan jumlah jualan tunai keseluruhan melebihi RM259,000 sekali gus mencapai objektif penganjurannya dalam memperkasa pembangunan usahawan tempatan dan merancakkan ekonomi setempat.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Ewon Benedick berkata, penganjuran karnival itu membuktikan sektor PMKS terus memainkan peranan penting sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi rakyat khususnya di kawasan luar bandar.
“Kerajaan Negeri akan terus komited memperkukuh pembangunan PMKS melalui pelbagai inisiatif keusahawanan, penyediaan platform pemasaran serta sokongan berterusan kepada usahawan tempatan agar mereka lebih berdaya saing dan mampu memperluaskan pasaran produk masing-masing.
“Karnival seperti ini bukan sahaja membuka peluang jualan kepada usahawan, malah turut menjadi medium jaringan perniagaan, promosi produk dan penglibatan komuniti dalam aktiviti ekonomi setempat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ewon berkata, sepanjang tiga hari penganjuran ( 1-3 Mei), lebih 10,000 pengunjung direkodkan hadir dengan kehadiran tertinggi dicatatkan pada hari terakhir.
Katanya, sebanyak 99 gerai jualan mengambil bahagian dalam karnival berkenaan melibatkan 36 usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta 63 penjaja dan peniaga kecil yang menawarkan pelbagai produk termasuk makanan, minuman, kraftangan, produk hiliran dan produk komuniti setempat.
“Daripada jumlah keseluruhan jualan sebanyak RM259,560.77 yang direkodkan, usahawan DIDR mencatat jualan sebanyak RM60,020.77 manakala penjaja dan peniaga kecil pula merekodkan jualan sebanyak RM199,540.00,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua rakan strategik yang terlibat dalam menjayakan Karnival Usahawan PMKS Sabah Zon Tenom termasuk Persatuan Etnik Murut Timugon, Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Negeri Sabah (G3PNS) serta agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
































