Haji Hajiji Haji Noor
KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti demi kepentingan rakyat dan negeri.
Presidennya, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, pendekatan politik yang inklusif perlu diambil sekiranya ia memberi manfaat kepada kestabilan serta perpaduan rakyat.
“Dalam politik, kita perlu melihat secara terbuka. Jika ia membawa kebaikan kepada negeri dan perpaduan rakyat, itu yang kita utamakan kerana matlamat kita adalah untuk membangunkan negeri,” katanya pada sidang media selepas Persidangan Agung Khas Gagasan Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Sementara itu, Hajiji yang juga Ketua Menteri dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memaklumkan Gagasan Rakyat menerima kemasukan beramai-ramai ahli baharu daripada bekas Parti Warisan di bahagian Keningau.
Beliau berkata, perkembangan itu menunjukkan sokongan yang semakin meningkat terhadap parti berkenaan.
“Saya gembira dengan kemasukan ahli baharu ini untuk bersama-sama memperkukuh perjuangan parti,” katanya.




























