Hajiji menyampaikan ucaptama pada Perhimpunan Agung Khas Gagasan Rakyat di SICC hari ini.
KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) meluluskan penstrukturan semula besar organisasi parti dengan mengurangkan jumlah bahagian daripada 74 kepada 26 berasaskan kawasan Parlimen.
Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, langkah itu yang dimuktamadkan melalui pindaan perlembagaan parti bertujuan memperkukuh kesepaduan, kecekapan serta gerak kerja akar umbi. Struktur baharu itu turut merangkumi Labuan.
Beliau menjelaskan, sebelum ini 74 bahagian yang disusun mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) kelihatan kukuh di atas kertas, namun tahap keupayaan dan keaktifannya tidak seimbang.
“Ada bahagian yang sangat aktif dengan keahlian dan jentera yang kuat, namun ada juga yang kecil serta kurang berfungsi. Struktur yang terlalu besar tetapi tidak seimbang akan melemahkan parti kerana sumber menjadi terlalu terpecah,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Agung Khas Gagasan Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.
Hajiji yang juga Ketua Menteri dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), menyifatkan persidangan khas itu sebagai titik penting dalam perjalanan parti, mencerminkan keputusan strategik Majlis Tertinggi selepas menilai realiti politik semasa, kekuatan organisasi serta peranan parti sebagai peneraju kerajaan negeri.
Beliau menegaskan penstrukturan semula itu perlu bagi memastikan parti kekal tersusun, bersatu dan mampu terus memimpin serta mengekalkan kepercayaan rakyat.
“Sesebuah parti tidak boleh bergantung kepada saiz semata-mata. Ia mesti tersusun, fokus dan bergerak sebagai satu pasukan untuk kekal kukuh dan relevan,” katanya.
Hajiji mengakui peralihan kepada 26 bahagian berasaskan Parlimen akan membawa perubahan dari segi peranan, operasi dan susunan kepimpinan, namun menegaskan nilai serta penghargaan terhadap sumbangan ahli tidak berubah.
“Apa yang berubah hanyalah struktur, bukan prinsip atau kepercayaan kita kepada ahli. Nilai sebenar perjuangan bukan terletak pada jawatan, tetapi pada kesetiaan dan khidmat,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pemimpin akar umbi yang menjadi tulang belakang parti, sambil menegaskan penstrukturan ini bertujuan menyusun dan memperkukuh kekuatan tersebut untuk masa hadapan.




























