Redonah menerima cenderahati daripada pihak penganjur.
KOTA KINABALU: Pengerusi Persatuan Inspirasi Wanita Sabah, Datuk Redonah Bahanda menyeru lebih ramai wanita Sabah tampil berani menerajui bidang keusahawanan dan menjadi penggerak utama ekonomi tempatan selaras aspirasi “Usahawan Wanita Sabah Menerajui Masa Depan Barangan Malaysia.”
Beliau berkata, wanita Sabah kini semakin menonjol dalam pelbagai sektor perniagaan dan berjaya membuktikan kemampuan mereka sebagai pemimpin ekonomi yang berdaya saing.
“Kalau dahulu wanita hanya dilihat sebagai penyokong di belakang tabir, hari ini wanita Sabah berada di barisan hadapan sebagai pemilik perniagaan, pengusaha produk tempatan dan pencipta peluang pekerjaan.
“Ada yang memulakan perniagaan dari dapur rumah, berniaga kecil-kecilan di tamu dan menjual melalui media sosial menggunakan telefon bimbit sahaja, namun dengan kesungguhan dan keberanian mereka berjaya mengembangkan perniagaan sehingga dikenali ramai,” katanya ketika berucap merasmikan Program Mini Inspirasi Kempen Belilah Barangan Malaysia yang menghimpunkan hampir 500 peserta terdiri daripada wanita, golongan profesional, beliawanis serta usahawan wanita dari seluruh Sabah.
Beliau turut menegaskan bahawa wanita mempunyai kekuatan luar biasa dalam menghadapi cabaran ekonomi serta tekanan kos sara hidup demi membantu keluarga dan memperbaiki kehidupan.
Katanya, kejayaan seorang usahawan wanita sering hadir bersama pengorbanan besar yang tidak dilihat masyarakat termasuk bekerja seawal pagi, berjaga malam menyiapkan tempahan pelanggan serta berdepan kegagalan sebelum mencapai kejayaan.
Dalam pada itu, Redonah turut mengajak masyarakat supaya terus menyokong produk keluaran tempatan khususnya hasil usahawan wanita Sabah yang semakin kreatif, moden dan berkualiti.
“Apabila kita membeli produk tempatan, kita sebenarnya membantu rakyat negara kita sendiri.
“Kita membantu usahawan kecil berkembang, membantu ibu tunggal menjana pendapatan, membuka peluang pekerjaan kepada anak muda dan mengukuhkan ekonomi negara,” katanya.
Beliau berkata, Kempen Belilah Barangan Malaysia menjadi platform penting dalam memperkukuh ekonomi tempatan di samping membuka ruang kepada usahawan memperluaskan jaringan dan pasaran produk mereka.
Pada masa sama, beliau berharap program seumpama itu akan terus diperluaskan bagi memberi lebih banyak peluang kepada wanita menambah ilmu, membina keyakinan diri dan meneroka peluang perniagaan baharu.
“Wanita Sabah bukan sekadar mampu bersaing, tetapi mampu memimpin dan mencipta masa depan yang lebih baik untuk negeri dan negara,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), semua agensi kerajaan, pihak swasta, rakan strategik dan para usahawan yang menjayakan program tersebut.
Beliau berharap kerjasama berterusan semua pihak mampu memperkukuh pembangunan komuniti serta memperkasa lebih ramai wanita Sabah dalam bidang keusahawanan.
































