Nizam Abu Bakar Titingan
KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, cadangan pindaan jumlah bahagian parti daripada 74 kepada 26 adalah langkah strategik untuk memperkukuh gerak kerja parti.
Beliau berkata, pindaan yang akan dibawa dalam Persidangan Agung Khas Gagasan Rakyat di bawah Fasal 16.1 itu mencerminkan pendekatan berpandangan jauh dalam memastikan struktur parti lebih kemas, tersusun dan berkesan.
Menurutnya, penstrukturan semula itu bukan sekadar perubahan angka, sebaliknya usaha menyeluruh bagi meningkatkan kecekapan penyelarasan serta memperkukuh pergerakan jentera di peringkat akar umbi.
“Struktur yang lebih tersusun akan membantu mengurangkan pertindihan gerak kerja, mempercepat penyampaian arahan serta memastikan sumber parti digunakan dengan lebih cekap,” katanya dalam satu kenyataan.
Nizam berkata, keadaan politik semasa menuntut organisasi parti yang bukan sahaja besar dari segi sokongan, tetapi turut kukuh dari aspek disiplin, penyelarasan dan keberkesanan.
Beliau menegaskan pindaan itu juga penting dalam memperkukuh perpaduan dalaman parti dengan memastikan semua peringkat kepimpinan dan jentera bergerak sebagai satu pasukan.
“Penstrukturan ini tidak harus dilihat sebagai pengurangan peranan mana-mana pihak, sebaliknya penyusunan semula kekuatan agar parti lebih mantap dan responsif,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menekankan kekuatan Gagasan Rakyat amat penting kepada kestabilan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta Kerajaan Negeri.
Nizam turut menyifatkan langkah tersebut sebagai mencerminkan keberanian dan kebijaksanaan kepimpinan Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor dalam membuat penyesuaian demi masa depan parti.
Beliau berkata, semua pihak perlu melihat pindaan itu dengan jiwa besar kerana ia bertujuan menyusun semula kekuatan parti, bukan mengecilkan ruang.
“Saya yakin penstrukturan ini akan menjadikan Gagasan Rakyat lebih bersedia, lebih tersusun dan lebih kukuh dalam meneruskan perjuangan membela rakyat serta mempertahankan kepentingan Sabah,” katanya.
































