Dr. Joachim menyaksikan Chee secara simbolik menyerahkan tapak SBAUP kepada Adzmir.
KOTA KINABALU: Upper Padas Power Sdn. Bhd. (UPPSB) secara rasmi mengambil alih kawasan pembangunan Projek Skim Bekalan Air Ulu Padas (SBAUP) susulan penyerahan tapak oleh Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Chee Chun Chieh kepada Pengerusi UPPSB, Datuk Ir. Ts. Adzmir Abd. Rahman.
Majlis penyerahan tapak yang berlangsung di Lok Kawi pada 12 Mei lalu itu menandakan bermulanya secara rasmi kerja-kerja pembinaan projek strategik berkenaan.
Hadir menyaksikan majlis itu ialah Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam; Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Ridhwan Roger Linus; dan Pengerusi Sabah Energy Corporation Sdn. Bhd., Datuk Annuar Ayub.
Penyerahan tapak berkenaan turut mencatat satu lagi pencapaian penting dalam usaha kerajaan negeri memperkukuh jaminan bekalan air jangka panjang menerusi pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Projek SBAUP dibangunkan bagi memenuhi peningkatan permintaan terhadap bekalan air terawat di koridor pantai barat Sabah yang meliputi Kota Kinabalu, Beaufort, Sipitang dan Kuala Penyu.
Skim itu direka dengan kapasiti muktamad sehingga 950 juta liter sehari (MLD) dan mengguna pakai konsep reka bentuk “bolt-on” bersama Projek Hidroelektrik Ulu Padas sedia ada bagi mengoptimumkan penggunaan sumber serta meminimumkan impak terhadap alam sekitar.
Majlis berkenaan juga menandakan bermulanya tempoh pelaksanaan projek selama 42 bulan yang disifatkan sebagai langkah signifikan dalam menjamin masa depan bekalan air Sabah, selain membantu merapatkan jurang keperluan bekalan antara kawasan bandar dan luar bandar.
Fasa pertama SBAUP dijadual siap menjelang penghujung 2029, membabitkan pembinaan loji rawatan air berkapasiti 350 MLD di Beaufort serta pemasangan lebih 200 kilometer saluran paip dari Sipitang ke Kota Kinabalu.
Pelaksanaan fasa itu dijangka mampu meningkatkan kestabilan sistem bekalan air negeri, sekali gus mengurangkan gangguan bekalan air yang sering dihadapi pengguna di kawasan terlibat.
UPPSB merupakan anak syarikat milik penuh UPP Holdings Sdn. Bhd., iaitu syarikat usaha sama strategik antara Gamuda Berhad, Sabah Energy Corporation dan Kerjaya Kagum Hitech JV Sdn. Bhd.
































