KOTA KINABALU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun ditemukan lemas di Sungai Rampayan berhampiran Kampung Dombung, Manggatal, pada petang Selasa.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Polis (ACP) Kasim Muda berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu yang melibatkan mangsa dikenali sebagai Akli Hamizan Ahmad.
Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 3.05 petang ketika mangsa bersama sembilan rakan dari kawasan sama pergi ke sungai berkenaan untuk mencari ikan.
“Siasatan awal mendapati mangsa dan seorang rakannya telah tersasar sebelum dihanyutkan arus sungai. Rakan-rakan mangsa kemudian meminta bantuan orang awam yang berada berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, anggota Balai Polis Manggatal yang menerima maklumat segera bergegas ke lokasi kejadian.
Katanya, pasukan bomba dan penyelamat tiba di lokasi sekitar jam 4 petang sebelum mangsa berjaya ditemukan pada jam 4.17 petang.
“Mangsa diberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) di lokasi sebelum dihantar ke Hospital Likas menggunakan ambulans,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 5.46 petang oleh pegawai perubatan hospital berkenaan.
“Kami mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa atas kejadian ini,” katanya.
Dalam pada itu, Kasim berkata, kejadian berkenaan menjadi peringatan kepada ibu bapa agar sentiasa memantau pergerakan anak-anak terutama ketika berada di kawasan sungai atau perairan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan mengelakkan risiko lemas, khususnya di kawasan sungai yang arusnya boleh berubah dengan pantas.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
































