Haji Hajiji Haji Noor
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan dasar dan operasi Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di negeri ini sehingga jaminan diperoleh bahawa tiada hak istimewa serta kuasa autonomi imigresen Sabah akan terhakis.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, keputusan itu dibuat selepas Kabinet Negeri meneliti isu-isu semasa berkaitan pelaksanaan AKPS di Sabah.
Menurutnya, penelitian mendapati terdapat elemen yang boleh menjejaskan kuasa dan hak imigresen khas Sabah dari segi perundangan dan operasi penguatkuasaan di bawah agensi berkenaan.
“Kerajaan Negeri memandang serius perkara ini kerana kuasa autonomi imigresen Sabah dan Sarawak adalah tidak boleh dirunding, selaras dengan semangat serta pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pelaksanaan AKPS bertujuan mengambil alih peranan Jabatan Imigresen Sabah di pintu masuk negeri, namun kuasa langsung Kerajaan Negeri terhadap agensi itu adalah terhad.
“Dalam keadaan ini, kuasa negeri hanya disalurkan melalui Pengarah Imigresen Sabah sebagaimana diperuntukkan di bawah subseksyen 6(3) Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 (Akta 860),” katanya.
Selain itu, katanya, Kerajaan Negeri turut mengenal pasti ketidakselarasan antara Akta 860 dan Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) yang berpotensi menjejaskan keberkesanan pelaksanaan tugas penguatkuasaan di pintu masuk Sabah.
Sehubungan itu, Hajiji menegaskan bahawa langkah penangguhan itu penting bagi memastikan kedudukan Sabah dalam hal ehwal imigresen terus dilindungi seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.
“Penangguhan ini dibuat sehingga terdapat jaminan jelas bahawa tidak akan berlaku sebarang penghakisan terhadap hak istimewa negeri serta kuasa autonomi imigresen Sabah, termasuk bidang kuasa Kerajaan Negeri dalam perkara ini,” katanya.
Beliau menambah, Kerajaan Negeri komited memastikan segala dasar berkaitan dilaksanakan tanpa menjejaskan kepentingan dan hak Sabah seperti yang telah dipersetujui dalam pembentukan Malaysia.






























