Hazem (enam dari kiri) menyerahkan cek cura zakat perniagaan berjumlah RM4.5 juta kepada Isnin (tujuh dari kanan) disaksikan Tun Musa (lapan dari kanan)
KOTA KINABALU : Kumpulan Sawit Kinabalu menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM4.5 juta kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).
Penyerahan zakat perniagaan itu disampaikan oleh Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu, Datuk Hazem Mubarak Musa mewakili Kumpulan Sawit Kinabalu kepada Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Isnin Aliasnih sambil disaksikan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, pada Rabu.
Isnin ketika ditemui media memaklumkan jumlah kutipan zakat di Sabah bagi tahun 2026 setakat 13 Mei ini adalah sebanyak RM60.45 juta manakala jumlah agihan zakat mencatat RM65.85 juta.
Beliau berkata, zakat penggajian merekodkan kutipan tertinggi iaitu RM24.06 juta atau 39.8 peratus daripada keseluruhan kutipan zakat di negeri ini, diikuti zakat perniagaan sebanyak RM14.64 juta bersamaan 24.23 peratus.
Menurutnya, bagi agihan zakat pula, golongan fakir menerima agihan tertinggi sebanyak RM25.19 juta atau 38.27 peratus, diikuti asnaf miskin RM11.73 juta dan fisabilillah RM9.84 juta.
Turut menyaksikan penyerahan tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif MUIS, Datuk Ramlan Awang Ali.
Sementara itu, Hazem memaklumkan penyerahan zakat tersebut merupakan hasil kutipan zakat perniagaan anak syarikat Sawit Kinabalu iaitu Borneo Samudera Sdn Bhd bagi tahun haul 2024 dan 2025.
Beliau menegaskan, Kumpulan Sawit Kinabalu terus komited melaksanakan tanggungjawab pembayaran zakat perniagaan sejajar dengan prestasi kewangan syarikat yang mampan dan berkembang.
Katanya, usaha itu merupakan satu amanah yang diharap dapat memberi manfaat berterusan kepada golongan memerlukan selain menyokong pembangunan sosioekonomi masyarakat melalui institusi zakat negeri.
Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sawit Kinabalu, Datuk Victor Ationg bersama barisan Ahli Lembaga Pengarah syarikat.






























