Azizan (tengah) menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta.
TUARAN: Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh peranannya sebagai “Brain of Borneo” menerusi pelaksanaan program “Jom Masuk IR” di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badin, Tuaran baru-baru ini bagi meningkatkan literasi perundangan buruh dan kesedaran hak pekerja dalam kalangan pelajar luar bandar.
Pensyarah Penasihat Kelab Hubungan Industri Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (INDREC) UMS, Azizan Haji Morshidi berkata, program itu merupakan usaha universiti membawa ilmu berkaitan hubungan industri, perundangan buruh dan pengurusan sumber manusia terus ke peringkat akar umbi.
“Kami mahu generasi muda di Sabah memahami bahawa bidang Hubungan Industri bukan sesuatu yang asing atau hanya berkaitan birokrasi semata-mata, sebaliknya penting dalam membentuk tenaga kerja yang berdaya saing, berintegriti serta memahami hak dan tanggungjawab mereka.
“Program sebegini juga menjadi pelaburan jangka panjang untuk melahirkan masyarakat yang lebih celik hak, khususnya dalam kalangan pelajar luar bandar,” katanya.
Program selama tiga hari bermula 8 hingga 10 Mei itu dianjurkan oleh INDREC Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) UMS dengan penglibatan pelajar sekolah menengah melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman.
Antara pengisian utama ialah sesi pengenalan asas bidang Hubungan Industri (IR), ceramah kerjaya, latihan simulasi penyelesaian konflik pekerjaan dan latihan dalam kumpulan yang memberi pendedahan kepada peranan majikan, pekerja serta pengadil dalam menangani isu di tempat kerja.
Program itu turut menampilkan perkongsian alumni UMS yang kini berkhidmat sebagai pegawai sumber manusia di syarikat terkemuka bagi memberi gambaran lebih jelas mengenai prospek pengajian dan kerjaya dalam bidang Hubungan Industri.
Selain memperkenalkan aspek perundangan pekerjaan, program tersebut turut memberi penekanan kepada pembangunan kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepimpinan, kerja berpasukan dan pemikiran kritis yang diperlukan dalam pasaran kerja masa kini.
Majlis penutupan program turut dihadiri Ketua Program Hubungan Industri FSSK UMS, Dr. Noor Syakirah Zakaria dan Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMK Badin, Anasari Paulus Riza.
Program “Jom Masuk IR” dilihat sebagai antara inisiatif UMS dalam memperkukuh sinergi antara universiti, sekolah dan komuniti menerusi penyebaran ilmu serta pemerkasaan masyarakat sejajar dengan aspirasi “UMS The Brain of Borneo”.
































