Azizah (empat kanan) bersama ahli jawatankuasa ketika salah satu pertemuan dengan Hajiji.
KOTA KINABALU: Kesatuan Perkhidmatan Pegawai Imigresen Sabah (KPPIS) menyuarakan kebimbangan bahawa pelaksanaan Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 (Akta 860) atau AKPS berpotensi menghakis kuasa autonomi negeri, selain mencetuskan kecelaruan serta pertindihan bidang kuasa antara negeri dan Persekutuan.
Presiden KPPIS, Azizah S. Ahmad berkata, kesatuan itu tampil membuat kenyataan susulan beberapa perdebatan terkini berkaitan kedudukan hak autonomi imigresen Sabah yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Perlembagaan Persekutuan serta Bahagian VII Akta Imigresen 1959/63.
Katanya, KPPIS melihat pelaksanaan AKPS boleh memberi kesan langsung terhadap tugas harian pegawai imigresen di pintu masuk utama negeri ini.
“Dari sudut pandang kesatuan, kewujudan akta yang mempunyai bidang kuasa luas dan bersifat menyeluruh ini menyebabkan pegawai di lapangan tersepit antara pematuhan kepada dasar baharu Persekutuan dan pemeliharaan kuasa mutlak perundangan imigresen di bawah seliaan Pihak Berkuasa Negeri.
“Situasi ini meletakkan pegawai dalam risiko ketidaktentuan garis panduan operasi standard (SOP) serta perlindungan perundangan ketika menjalankan tugas penguatkuasaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagi menangani isu itu secara profesional dan berhemah, katanya, KPPIS telah mengambil langkah proaktif melalui saluran rundingan rasmi di peringkat tertinggi.
Menurut beliau, pihak kesatuan telah mengadakan dua pertemuan bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor, masing-masing pada 27 April dan 3 Mei lalu.
“Dalam pertemuan tersebut, Kerajaan Negeri menzahirkan pendirian tegas menolak pelaksanaan AKPS di Sabah atas prinsip mempertahankan kedaulatan autonomi negeri,” katanya.
Azizah berkata, KPPIS turut mengadakan pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud pada 4 Mei lalu bagi mengemukakan representasi rasmi berkaitan penelitian semula aspek tatacara perjawatan serta perlindungan keselamatan anggota di bawah seliaan kementerian.
Beliau menegaskan tindakan kesatuan itu bukan satu bentuk penentangan atau cubaan membelakangi pengurusan tertinggi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), sebaliknya sebahagian daripada tanggungjawab kesatuan dalam melindungi kebajikan ahlinya.
“Perjuangan KPPIS adalah berlandaskan Perlembagaan. Isu ini melibatkan soal dasar dan penggubalan akta yang memerlukan penjajaran semula dengan hak MA63.
“Oleh itu, kesatuan mengambil tanggungjawab mengangkat suara warga kerja JIM Sabah, khususnya yang bertugas di pintu masuk, untuk dibawa terus kepada pihak pembuat dasar di peringkat negeri dan Jabatan Perdana Menteri,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan anggota JIM yang bertugas di pintu masuk kini berdepan kekeliruan bidang kuasa susulan transisi pelaksanaan Akta 860.
“Sebagai kesatuan, fokus utama kami adalah memastikan setiap pegawai dapat bertugas dalam persekitaran yang jelas, teratur dan dilindungi undang-undang tanpa sebarang prejudis.
“Pada masa sama, kami menuntut agar pembuat dasar menyelesaikan kelompongan dalam akta ini demi kelancaran penyampaian perkhidmatan serta pemeliharaan autonomi Sabah,” katanya.






























