Hajiji dan tetamu lain bergambar bersama pelajar cemerlang peperiksaan SPM 2025 pada Majlis Makan Malam sempena Tinjauan Keselamatan ke ESSZone di Hotel Seafest Semporna, malam tadi.
SEMPORNA: Semporna bukan sekadar sebuah daerah pesisir biasa, sebaliknya menjadi nadi dan pemangkin utama transformasi ekonomi Sabah menerusi agenda Ekonomi Biru di bawah pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), kata Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, potensi luar biasa daerah itu mampu menjana limpahan ekonomi berskala besar sekiranya diurus secara strategik, sekali gus memberi manfaat bukan sahaja kepada masyarakat setempat tetapi juga kepada seluruh negeri.
“Dalam erti kata lain, kejayaan Semporna adalah kejayaan Sabah,” katanya pada Majlis Makan Malam sempena lawatan kerja beliau ke daerah itu bagi Tinjauan Keselamatan ESS Zone di Hotel Seafest, di sini, malam tadi.
Hajiji berkata, Semporna kini berada di hadapan dalam beberapa inisiatif penting yang boleh dijadikan penanda aras, khususnya dalam sektor pelancongan marin berimpak tinggi dan mampan.
Beliau berkata, Pulau Sipadan berjaya melaksanakan sistem kuota harian pelawat yang kini diiktiraf sebagai model pengurusan pelancongan bernilai tinggi dan lestari, sekali gus memastikan keseimbangan antara pemuliharaan alam sekitar dan aktiviti ekonomi.
“Di Taman Marin Tun Sakaran, kita menyaksikan sinergi harmoni antara pelancongan, pemuliharaan biodiversiti dan penyertaan komuniti.
“Inilah asas kepada konsep pelancongan berasaskan komuniti yang mahu kita perluaskan kerana ia memastikan kekayaan semula jadi Semporna dikembalikan kepada rakyatnya,” katanya.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri kini mempergiat usaha mentransformasikan sektor akuakultur marin bagi mewujudkan peralihan daripada pengeluaran bahan mentah kepada ekonomi berasaskan nilai tambah.
Menurut beliau, antara fokus utama kerajaan ialah memperluas zon akuakultur bersepadu berskala komersial, memperkenalkan teknologi sangkar laut moden yang lebih cekap dan mesra alam, serta memperkukuh sokongan kepada usahawan rumpai laut bagi meningkatkan produktiviti dan menghasilkan produk berkualiti eksport.
“Pada masa sama, kita juga berusaha menarik pelaburan berimpak tinggi dalam sektor pemprosesan hiliran makanan laut supaya keseluruhan rantaian nilai ekonomi dapat dikawal secara menyeluruh,” katanya.
Bagi menyokong pertumbuhan sektor itu, Hajiji berkata kerajaan turut merangka pelan menaik taraf infrastruktur sokongan kritikal di Semporna.
Katanya, ini termasuk pemodenan kemudahan jeti dan rangkaian logistik, pembangunan sistem rantaian sejuk yang komprehensif bagi memastikan kualiti makanan laut, akses lebih luas ke pasaran eksport antarabangsa serta penyediaan kemudahan pelancongan awam yang lebih tersusun, selamat dan bertaraf dunia.
Ketua Menteri turut menegaskan agenda pembangunan besar di Semporna tidak akan menjadi kenyataan tanpa kepimpinan akar umbi yang kukuh dan komitmen tinggi terhadap prinsip kelestarian.
Beliau berkata, kawasan tumpuan seperti Pulau Mabul dan Pulau Kapalai kini berdepan tekanan akibat kesesakan dan pembangunan pesat, sekali gus memerlukan pendekatan pengurusan yang lebih berhemah.
“Jika tidak diurus dengan baik, kita berisiko merosakkan aset semula jadi yang menjadi lombong emas ekonomi negeri. Kelestarian mesti dilihat sebagai satu pelaburan, bukannya beban,” katanya.
Sehubungan itu, Hajiji menyeru pemimpin tempatan supaya memainkan peranan lebih proaktif sebagai “penjaga utama” ekosistem dengan membantu menguatkuasakan peraturan, membanteras aktiviti tidak lestari, mempergiat kempen kesedaran komuniti serta menggalakkan penglibatan belia dalam sektor Ekonomi Biru yang dipacu inovasi dan teknologi moden.
Beliau turut menegaskan setiap pembangunan di Semporna mesti berteraskan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) bagi memastikan keseimbangan antara kemajuan ekonomi dan kelestarian jangka panjang.
“Kerajaan tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk pembangunan yang hanya mengejar keuntungan jangka pendek sehingga mengorbankan masa depan negeri,” katanya.
Hajiji berkata, Semporna berpotensi muncul sebagai hab pelancongan marin mampan bertaraf dunia, pusat akuakultur moden dan pengeluar makanan laut premium utama negara.
Beliau berkata, daerah itu juga mampu menjadi model pembangunan ekonomi komuniti pesisir serta pusat rujukan kecemerlangan Ekonomi Biru di Sabah.
Katanya, beliau yakin dengan komitmen semua pihak termasuk agensi Kerajaan Negeri, kepimpinan daerah, agensi pelaksana dan masyarakat setempat, Semporna mampu merealisasikan aspirasi tersebut.
“Apa yang kita rancang dan laksanakan hari ini adalah janji kita kepada generasi akan datang supaya mereka mewarisi lautan yang bukan sahaja kaya dengan keindahan semula jadi, tetapi juga melimpah dengan peluang ekonomi yang menjamin kehidupan sejahtera,” katanya.
































