Dr. Joachim bersama para penerima anugerah.
KOTA KINABALU: Kumpulan Yayasan Sabah mencapai pencapaian bersejarah pada 2025 apabila merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM683 juta, meningkat 17 peratus berbanding RM586 juta pada tahun sebelumnya, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
“Di peringkat syarikat, Innoprise Corporation Sdn. Bhd. (ICSB), cabang pelaburan Kumpulan Yayasan Sabah, mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM243 juta, meningkat 35 peratus daripada RM179 juta sebelum ini. Ini juga merupakan keuntungan tertinggi pernah direkodkan dalam sejarah ICSB.
“Pencapaian ini jelas mencerminkan keupayaan pengurusan yang kukuh serta komitmen seluruh pasukan dalam menghasilkan prestasi cemerlang. Tahniah kepada semua,” katanya pada Majlis Anugerah Yayasan Sabah yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, malam ini. Ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.
Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah berkata, ICSB mengisytiharkan dividen sebanyak RM160 juta pada 2025, meningkat tujuh peratus berbanding RM150 juta pada 2024.
“Ini merupakan pembayaran dividen tertinggi dalam sejarah ICSB. Pada masa sama, ICSB kekal sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sabah dengan pembayaran dividen tertinggi di negeri ini selama lima tahun berturut-turut. Kita optimis prestasi ini akan terus meningkat pada 2026, disokong asas kewangan yang kukuh dan prospek perniagaan yang positif,” katanya.
Beliau berkata, prestasi Kumpulan dipacu oleh sektor-sektor utama, dengan sektor perladangan agro kekal sebagai penyumbang terbesar, menjana keuntungan sebanyak RM323 juta.
Sektor pelancongan dan rekreasi mencatat keuntungan RM65 juta, mencerminkan pertumbuhan industri pelancongan Sabah, manakala sektor minyak, gas dan tenaga merekodkan peningkatan ketara kepada RM40 juta berbanding hanya RM0.07 juta pada 2024.
Hajiji berkata, Kumpulan Yayasan Sabah terus memainkan peranan penting dalam memacu ekonomi negeri serta menyumbang kepada masyarakat.
“Sebagai jentera strategik Kerajaan Negeri, saya berbangga Kumpulan Yayasan Sabah terus melaksanakan program berimpak tinggi dalam bidang pendidikan, pembangunan modal insan, sosioekonomi, pemuliharaan dan penyelidikan selaras dengan misi penubuhannya,” katanya.
Beliau berkata, Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS), inisiatif di bawah Pelan Strategik Transformasi Kumpulan Yayasan Sabah, telah memberi manfaat kepada 15,629 pelajar melibatkan peruntukan RM25.1 juta.
“Usaha kutipan pinjaman pada 2025 mencecah RM8.03 juta, tertinggi sejak Yayasan Sabah ditubuhkan, mencerminkan peningkatan 22.4 peratus berbanding rekod sebelumnya sebanyak RM6.6 juta.
“Gabungan sumbangan daripada bayaran balik pinjaman dan TPNS telah membantu menampung komitmen pendidikan Kumpulan,” katanya.
Sebanyak 613 program pembangunan sosial dan komuniti dilaksanakan melalui enam Pejabat Zon, memberi manfaat kepada 78,648 penerima dengan peruntukan RM4.26 juta.
Hajiji berkata, University College Sabah Foundation (UCSF), institusi pengajian tinggi milik penuh Kumpulan, mencatat pertumbuhan memberangsangkan dengan jumlah enrolmen melebihi 1,100 pelajar serta pengenalan program baharu bermula tahun ini.
Beliau menambah, UCSF turut memperluas kerjasama antarabangsa dengan institusi di Brunei, Bosnia, Turkiye, Azerbaijan, Indonesia, Filipina dan United Kingdom.
Sementara itu, Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) menerima peruntukan RM1.2 juta daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri, untuk melatih 460 peserta di bawah Program Khas Anak Negeri (PKAN).
Dua inisiatif baharu – Projek Perintis Akademik Sekolah Menengah dan Gerakan Ekonomi Makanan Marin Inovatif (GEMILAU) – turut diperkenalkan.
Hajiji turut menekankan komitmen Kumpulan terhadap pemuliharaan alam sekitar, termasuk kerjasama dengan Preferred by Nature (PbN), Denmark, bagi Pelan Pengurusan Strategik Ketiga Kawasan Pemuliharaan Lembangan Maliau.
Beliau berkata, usaha juga sedang dipergiat untuk memperkukuh pengurusan ekopelancongan melalui kerjasama dengan kawasan taman perlindungan di seluruh negara.
Melangkah ke hadapan, Hajiji menggesa Kumpulan Yayasan Sabah dan anak syarikatnya terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negeri di samping memenuhi jangkaan semua pihak berkepentingan.
Sempena ulang tahun ke-60 pada 10 Mei ini, beliau menyeru Yayasan Sabah agar terus menjadi peneraju dalam melahirkan modal insan berilmu, beretika dan berkemahiran tinggi.
“Saya berharap Kumpulan Yayasan Sabah akan terus kekal inovatif dan relevan selaras dengan arus pembangunan moden, sambil menyumbang kepada kejayaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0,” katanya.
































