Julita bergambar bersama pelajar cemerlang SMK Matunggong, para guru serta barisan kepimpinan tertinggi sekolah.
MATUNGGONG: SMK Matunggong terus mengekalkan prestasi cemerlang apabila kekal sebagai sekolah harian luar bandar terbaik di Sabah selama sembilan tahun berturut-turut.
Selain itu, sekolah berkenaan turut berada di kedudukan ke-13 daripada 223 sekolah di Sabah bagi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
Sekolah itu juga mencatat kadar kelulusan 100 peratus bagi tahun keenam berturut-turut, dengan Gred Purata Sekolah (GPS) meningkat kepada 3.34.
Daripada 141 calon yang menduduki peperiksaan SPM 2025, seramai 55 pelajar memperoleh keputusan cemerlang 5A dan ke atas.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Majungki yang juga ADUN Matunggong berkata, pencapaian tersebut membuktikan bahawa sekolah luar bandar mampu mencapai tahap kecemerlangan setanding dengan sekolah lain di negeri ini.
“Pencapaian ini mencerminkan disiplin dan ketahanan pelajar. Kejayaan lahir daripada semangat yang tidak mudah menyerah walaupun berdepan cabaran,” katanya ketika merasmikan Majlis Anugerah Pelajar SMK Matunggong 2025 di sini, kelmarin.
Julita turut menyampaikan insentif tunai kepada pelajar cemerlang sebagai penghargaan atas usaha dan pencapaian mereka.
Beliau berkata, kejayaan berterusan itu selaras dengan usaha menjadikan pendidikan sebagai teras utama pembangunan, seperti yang digariskan dalam manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) beliau.
Menurutnya, pendekatan berterusan dalam memperkukuh pendidikan telah menyumbang kepada peningkatan prestasi akademik pelajar secara menyeluruh.
Beliau turut menegaskan bahawa latar belakang bukan penentu masa depan seseorang, sebaliknya disiplin dan sikap memainkan peranan penting dalam kejayaan.
“Disiplin adalah kunci kemajuan. Kejayaan datang daripada usaha yang berterusan, walaupun langkah itu kecil dan perlahan,” katanya.
Julita turut merakamkan penghargaan kepada pihak pentadbiran sekolah serta guru atas komitmen berterusan dalam memastikan kecemerlangan sekolah dapat dikekalkan dan dipertingkatkan.
Majlis tersebut menghimpunkan pelajar, guru serta ibu bapa dalam meraikan pencapaian akademik sekolah serta memperkukuh semangat untuk terus mencapai kejayaan pada masa hadapan.
































