Jainisah (depan) ketika ditemui media.
TAWAU : Program PENTARAMA X Jabatan Penerangan (JaPen) menjadi platform dalam memberi kesedaran berkenaan kepentingan melayari internet selamat serta memahami risiko penyalahgunaan teknologi terkini melalui pendekatan didik hibur.
Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor berkata program anjuran Jabatan Penerangan (JAPEN) berkenaan menyasarkan 40 buah sekolah terpilih melibatkan sekolah menengah dan rendah memandangkan sambutan dan impaknya yang berguna kepada pelajar sekolah.
“Untuk tahun ini, kita sasarkan 40 program melibatkan 40 buah sekolah seluruh Sabah dan setakat ini 21 program telah selesai dilaksanakan dan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.
“Kita dapat lihat, program ini melalui pendekatan didik hibur meninggalkan kesan yang berguna kepada kepada pelajar sekolah kerana tujuan utama program ini adalah untuk memberi kesedaran kepada pelajar beberapa perkara seperti kepentingan melayari internet selamat serta memahami risiko penyalahgunaan teknologi terkini.
“Pelaksanaan program ini turut melibatkan sekolah pelbagai aliran dan kawasan pedalaman bagi memastikan mesej kesedaran berkaitan buli dan keselamatan internet dapat disampaikan secara menyeluruh kepada semua lapisan pelajar,” ujarnya ketika ditemui media sempena program PENTARAMA X Kelab Malaysiaku di Dewan SMK Tawau, pada Khamis.
Jainisah memaklumkan JAPEN turut berkolaborasi dengan pelbagai agensi dalam menjayakan program-program tersebut.
Antara rakan strategik yang terlibat antaranya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Kementerian Pendidikan Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dalam penyampaian maklumat.
































