Mohd. Arsad Bistari
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tempasuk, Datuk Mohd. Arsad Bistari mencadangkan tiga mekanisme bagi memacu pembangunan negeri itu dengan lebih inklusif.
Tiga langkah iaitu, pemerkasaan kapasiti penjawat awam profesional setaraf Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD), kajian industri ikan air tawar, dan Skim Pembaikan Rumah Daif merupakan pendekatan spesifik berdasarkan situasi semasa di lapangan, berpotensi menjadi pendorong pembangunan negeri jangka panjang.
“Salah satu faktor penyumbang kepada kecekapan pentadbiran Kerajaan Persekutuan ialah PTD.
“Kumpulan profesional yang berperanan menterjemah dasar kerajaan kepada perlaksanaan ini dilengkapi dengan kemahiran analisis dasar awam, ekonomi, analisis data, komunikasi strategik dan menguasai tadbir urus digital termasuk teknologi AI.
“Seperti yang saya sentuh dalam sidang DUN kelmarin, kapasiti penjawat awam profesional kita perlu dilengkapi dengan kemahiran ini bagi memperkukuh kecekapan pentadbiran negeri dalam mendepani cabaran-cabaran baharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada masa sama, Mohd. Arsad turut mencadangkan agar sektor akuakultur air tawar dikaji secara mendalam sebagai penyelesaian kepada isu keterjaminan makanan dan pengangguran terutama di kawasan luar bandar.
“Kelebihan geografi di kawasan luar bandar terutama DUN Tempasuk perlu dikaji untuk pembangunan industri ikan air tawar. Permintaan bekalan air tawar pula pada ketika ini semakin meningkat seiring pertambahan populasi penduduk Sabah.
“Dengan penglibatan komuniti usahawan tempatan serta golongan belia sebagai pemain utama, saya percaya sektor ini mampu menyumbang kepada keterjaminan makanan dan peluang pekerjaan,” tambah beliau.
Dalam pada itu, Arsad turut mencadangkan pewujudan Skim Pembaikan Rumah Daif di Sabah sebagai inisiatif terhadap golongan miskin dan kurang berkemampuan yang tinggal di rumah rosak dan uzur.
“Terdapat golongan kurang berkemampuan yang mempunyai rumah, tetapi dalam keadaan daif. Golongan ini adalah daripada kalangan masyarakat yang tinggal di rumah pusaka yang diwarisi sejak bertahun lama.
“Keadaan rumah ini yang semakin hari semakin usang dengan pelbagai kerosakan dan memerlukan kos diluar kemampuan untuk dibaikpulih.
“Saya telah menyuarakan kepada Kerajaan Negeri agar mempertimbangkan pewujudan Skim Pembaikan Rumah Daif bagi golongan yang memiliki rumah pusaka uzur tetapi tidak berkemampuan membaikpulihnya,” kata Arsad.






























