TANJUNG MALIM: Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick berkata, pengajian Bahasa Kadazandusun (BKD) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya melahirkan seramai 431 graduan, bakal diperluas kepada bahasa etnik Sabah yang lain.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata, pencapaian itu membuktikan keberkesanan usaha memartabatkan bahasa etnik itu melalui sistem pendidikan tinggi yang mula diperkenalkan sejak 2010.
“Saya juga mengalu-alukan kesediaan UPSI untuk memperluaskan pengajian ini kepada Bahasa Etnik Sabah mencakupi beberapa etnik seperti Kadazan, Tatana, Murut, Lotud dan Sama,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan ke UPSI dan menerima taklimat mengenai perkembangan pengajian BKD yang diperkenalkan sejak 16 tahun lalu.
Ewon berkata, kerjasama antara UPSI dan Yayasan Bank Rakyat (YBR) turut menjadi pemangkin kepada kejayaan program itu, khususnya dalam aspek pembiayaan pelajar.
“Saya juga berbangga kerana kerjasama di antara UPSI dan Yayasan Bank Rakyat masih dilaksanakan bagi pembiayaan pelajar dalam pengajian Bahasa Etnik Sabah, Sarawak dan Semenanjung (Orang Asli),” katanya.
Ewon berkata, pengajian bahasa etnik itu mendapat sambut amat memberangsangkan di kalangan pelajar di mana tempat yang ditawarkan hanya 50, tetapi jumlah permohonan melebihi 2,000.
“Saya juga akan berbincang dengan YAB Ketua Menteri Sabah (Datuk Seri Panglima Hajiji Noor) beberapa cadangan inisiatif memperkasakan pengajian Bahasa Etnik Sabah di UPSI,” katanya.
Beliau berkata, usaha itu penting bagi memastikan setiap rakyat Malaysia mempunyai rasa kebersamaan dan identiti bangsa yang terus diperkasa melalui pendidikan.
“Saya turut berharap rakyat Malaysia akan terus dapat menguasai bahasa ibunda masing-masing, bahasa kebangsaan dan sekurang-kurangnya satu bahasa utama antarabangsa,” katanya.
Dalam lawatan sama, beliau turut menyantuni pelajar Sabah di UPSI menerusi program Ramah Mesra Bersama Pelajar Sabah anjuran Ikatan Sepadu Anak Jati Sabah (IKSAS).
“Saya berharap para pelajar dapat bergraduan dengan jayanya di UPSI dan balik ke pangkuan ibu bapa dengan kejayaan serta iltizam untuk terus berjaya,” katanya.
Pada majlis itu, Ewon turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM20,000 kepada IKSAS bagi menyokong pelaksanaan program food bank, penganjuran Pesta Kaamatan serta penerbitan penyelidikan dan projek akhir semester.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Norkhalid Salimin; Bendahari, Mohamad Najib Mohamed; Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Prof. Madya Dr. Mohd. Abdul Nasir Abd. Latif; Ketua Jabatan Bahasa Etnik, Dr. Muhamad Fadzllah Zaimi; dan Penyelaras Pascasiswazah Jabatan Bahasa Etnik, Dr. Rosliah Kiting.
Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah Amanah, Yayasan Bahasa Kadazandusun (KLF), Datuk Philip Benedict Lasimbang, Ketua Pegawai Eksekutif KLF, Rita Lasimbang dan Yang di-Pertua Persatuan Bahasa dan Budaya Bajau (PSBB), Hajah Chendramata Sinteh.






























