Tun Musa (dua dari kiri) tabik hormat kepada Kawalan Kehormatan PDRM.
KOTA KINABALU : Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17 berjalan lancar.
Istiadat bermula sejurus keberangkatan tiba Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman pada jam 9.15 pagi disambut oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Kadzim M. Yahya.
Beliau kemudian menerima tabik hormat daripada Pegawai Baris, DSP Mohd Afefe Nazreen Mohd Seri diikuti lagu “Negaraku” dan “Sabah Tanah Airku” oleh Pancaragam Polis Kontinjen Sabah.
Selepas itu, Tun Musa memeriksa Kawalan Kehormatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terdiri daripada tiga orang pegawai kanan dan 102 anggota lain-lain pangkat diketuai Mohd Afefe dibantu oleh ASP Ardy Azwin Jamain dan Pegawai Pembawa Panji, Insp Irshad Ismadol.
Mulai jam 9.45 pagi, dif-dif kehormat serta Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) masuk ke Dewan Persidangan di Aras 4, disusuli para pembantu menteri, Menteri-menteri dan Timbalan-timbalan Ketua Menteri sebelum Hajiji tiba dan loceng istiadat dewan dibunyikan pada jam 9.57 pagi.
Seterusnya, Tun Musa berarak masuk semula ke Dewan Persidangan sebelum menerima Teks Ucapan Dasar Kerajaan Negeri Sabah daripada Hajiji.
Usai ucapan dasar, Kadzim mengumumkan Penangguhan Persidangan DUN Sabah dan istiadat ditutup dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar.
Turut diadakan, Majlis Jamuan Negeri dan sesi fotografi Tun Musa bersama semua ADUN dan Kabinet Negeri.






























