JOHOR BAHRU: Kerajaan memutuskan untuk menyegerakan keseluruhan proses tindakan undang-undang melibatkan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi memperkukuh penguatkuasaan dalam menangani ketirisan dan penyeludupan barang kawalan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Antara Agensi Penguatkuasaan Bagi Membanteras Ketirisan dan Penyeludupan (JTPAP) pada 6 April lalu.
Menurut beliau, langkah itu meliputi keseluruhan rantaian tindakan iaitu siasatan, pendakwaan dan pendengaran di mahkamah supaya kes dapat diselesaikan dengan lebih pantas.
“Pendekatan ini diambil untuk memastikan pemerkasaan penguatkuasaan bagi menangani isu ketirisan barang kawalan khususnya bahan api petrol dan diesel terlaksana secara berkesan, dengan pihak-pihak yang bertanggungjawab dihadapkan ke muka pengadilan secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Armizan berkata, langkah itu juga menjadi sebahagian daripada mekanisme pencegahan serta pengurusan risiko penyelewengan dan penyeludupan, sekali gus menjamin keterjaminan bekalan untuk rakyat dan kegunaan domestik.
Susulan keputusan tersebut, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan termasuk Jabatan Peguam Negara dan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan yang memberikan maklum balas positif.
Dalam masa sama, KPDN turut memperkemaskan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi kes serahan daripada agensi penguatkuasaan lain bagi memastikan kertas siasatan dapat dilengkapkan segera sebelum dirujuk kepada pihak pendakwaan.
Beliau berkata, antara cadangan penambahbaikan termasuk penyediaan saluran perbicaraan pantas (fast-track), pelantikan hakim khusus serta penyelarasan pasukan pengurusan kes antara agensi dan institusi kehakiman.
“Keutamaan akan diberikan kepada pendakwaan kes-kes kartel sindiket serta pendekatan bersasar seperti perundingan akuan (plea bargaining) bagi kes-kes kecil,” katanya.
Menurut beliau, langkah itu bertujuan mempercepat dan memperkukuh tindakan pendakwaan, selain memberi isyarat tegas bahawa aktiviti penyelewengan dan penyeludupan tidak akan dikompromi.
Armizan berkata, fokus JTPAP adalah memastikan kes dihasilkan melalui Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) dapat segera dibawa ke peringkat pendakwaan dan pendengaran di mahkamah.
Katanya, usaha itu selari dengan komitmen kerajaan dalam membanteras penyelewengan barang kawalan khususnya bahan api ketika dunia berdepan krisis tenaga global susulan konflik Asia Barat.
“Konflik yang berlarutan sejak 28 Februari 2026 bukan sahaja mencetuskan krisis tenaga global, malah kini memasuki fasa krisis bekalan global yang turut memberi implikasi kepada Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, JTPAP diaktifkan serta-merta susulan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Mac lalu, dengan Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) mula berkuat kuasa pada 16 Mac 2026.
Operasi bersepadu itu melibatkan pelbagai agensi penguat kuasa merangkumi sektor daratan, perairan dan sempadan, dengan KPDN sebagai peneraju sektor darat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi sempadan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi perairan.
Sejak pelaksanaannya dari 16 Mac hingga 22 April 2026, sebanyak 20,020 pemeriksaan telah dijalankan di seluruh negara, menghasilkan 362 kes serta penahanan 105 individu.
Daripada jumlah itu, kes penyelewengan diesel mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 157 kes, diikuti petrol (78 kes), gas petroleum cecair (49 kes), minyak masak (42 kes), gula (26 kes) dan tepung gandum (10 kes).
Di Johor, sebanyak 2,227 pemeriksaan dijalankan dalam tempoh sama yang merekodkan 23 kes, dengan diesel kekal sebagai komoditi tertinggi terlibat sebanyak 13 kes.
Armizan menegaskan KPDN akan terus memperhebat penguatkuasaan melalui pendekatan berasaskan risikan, penggunaan data serta kerjasama strategik merentas agensi.
Beliau turut menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat melalui pelbagai saluran disediakan termasuk WhatsApp, portal e-Aduan, pusat panggilan dan aplikasi Ez ADU KPDN bagi membantu membanteras aktiviti ketirisan.
































