Azizah bergambar bersama warga kerja IDS.
KOTA KINABALU: Sambutan Majlis Gongxi Raya anjuran Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) menjadi platform bermakna dalam mengeratkan hubungan silaturahim serta menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan warga kerja dan jemputan yang hadir.
Pengerusi IDS, Datuk Seri Azizah Mohd. Dun berkata, sambutan yang menggabungkan perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baru Cina itu mencerminkan keunikan masyarakat majmuk di Sabah dan Malaysia yang hidup dalam suasana harmoni serta saling menghormati.
“Majlis seperti ini memberi ruang untuk kita berkumpul dalam suasana penuh kemesraan dan kekeluargaan. Ia bukan sekadar menikmati juadah seperti ketupat, rendang dan pelbagai hidangan lain, tetapi menjadi simbol kesyukuran, perkongsian rezeki serta hubungan yang dipereratkan,” katanya ketika berucap pada majlis Gong Xi Raya IDS 2026 yang berlangsung di Wisma IDS, di sini hari ini.
Menurut beliau, tradisi Yee Sang yang sinonim dengan sambutan Tahun Baru Cina turut membawa makna simbolik harapan baharu, kemakmuran serta kejayaan.
“Ia melambangkan penyatuan dan semangat untuk terus melangkah bersama sebagai sebuah keluarga kerja yang harmoni, saling menyokong serta komited mencapai kecemerlangan dalam setiap amanah,” tambahnya.
Azizah turut menegaskan bahawa sambutan seumpama ini memperkukuh nilai kebersamaan dan perpaduan yang perlu terus diamalkan dalam kehidupan seharian, sama ada di tempat kerja mahupun dalam masyarakat.
“Walaupun kita sibuk dengan tugasan harian, kesempatan seperti ini membolehkan kita berhenti seketika, mengeratkan silaturahim dan mengingatkan bahawa kita bukan sekadar rakan sekerja, tetapi sebuah keluarga,” ujarnya.
Dalam pada itu, Azizah mengingatkan bahawa dunia kini berdepan pelbagai cabaran termasuk pergolakan global, konflik peperangan, ketidaktentuan ekonomi, krisis iklim serta turun naik harga minyak.
“Dalam apa jua keadaan, kita harus sentiasa bersyukur atas nikmat keamanan dan kestabilan yang kita kecapi. Amalan bersederhana dan sikap bersedia menghadapi sebarang kemungkinan adalah penting,” katanya.
Beliau turut menasihatkan masyarakat agar berbelanja secara berhemah dan tidak berlebihan, khususnya dalam suasana ekonomi yang mencabar.
“Bersederhana bukan satu kekurangan, tetapi satu kebijaksanaan. Pengurusan kewangan yang baik penting untuk menjamin kestabilan kehidupan kita dan keluarga,” jelasnya.
Selain itu, beliau juga mengingatkan orang ramai supaya memberi perhatian terhadap aspek kesihatan, khususnya dalam keadaan cuaca panas ketika ini.
“Pastikan kita minum air secukupnya, kurangkan aktiviti di bawah terik matahari dan sentiasa menjaga kesejahteraan diri serta keluarga,” katanya lagi.
































