Tun Musa dan Hajiji bersama isteri masing-masing di sesi bergambar rasmi pada “Royal Mess Night” sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-75 Yang di-Pertua Negeri Sabah di SICC malam tadi.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor bersama isteri, Datin Seri Hajah Juliah Salag menghadiri “Royal Mess Night” sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-75 Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Haji Aman, Yang di-Pertua Negeri Sabah di Pusat Konvensyem Antaraangsa Sabah (SICC), di sini, malam tadi.
Hajiji dan isteri tiba kira-kira jam 7.45 malam, disusuli keberangkatan tiba Tun Musa bersama Toh Puan Hajah Faridah Haji Tussin.
Sebaik tiba, TYT bersama Toh Puan diiringi ke sesi bergambar rasmi sebelum perarakan masuk ke meja utama dengan iringan “sword bearer” dan “bagpipes”, diikuti nyanyian lagu Negaraku serta Sabah Tanah Airku.
Turut mencuri tumpuan ialah perarakan panji-panji Polis Diraja Malaysia ke dalam dewan sebelum berlangsungnya acara tradisi “toast” atau minum ucap selamat sebagai simbol taat setia dan penghormatan.
Antara acara utama ialah Toast 1 bagi minum ucap selamat kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, diikuti Toast 2 kepada Raja-Raja dan Yang di-Pertua Negeri serta Toast 3 kepada pasukan keselamatan dan agensi penguatkuasaan negara.
Pengisian lain majlis termasuk upacara memotong kek, penyampaian cenderahati serta persembahan hiburan yang diiringi oleh Kombo PDRM/ATM.
































