Hajiji (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Saniez selepas kunjungan hormat di Menara Kinabalu, hari ini.
KOTA KINABALU: Sabah mengalu-alukan minat TotalEnergies untuk mewujudkan kehadiran jangka panjang di negeri ini, selaras usaha memperkukuh kedudukannya dalam sektor tenaga serantau.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, Sabah mempunyai potensi penerokaan laut dalam yang masih belum diterokai secara menyeluruh dan terbuka kepada rakan strategik yang berkeupayaan teknikal bagi membangunkan sumber tersebut.
“Sabah berhasrat bekerjasama dengan pelabur berwibawa yang mampu membawa kepakaran dalam penerokaan laut dalam serta pengeluaran yang cekap dan mampan bagi merealisasikan sepenuhnya potensi huluan negeri ini,” katanya ketika menerima kunjungan hormat Pengarah Urusan TotalEnergies EP Malaysia, Jerome Saniez di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
TotalEnergies, sebuah syarikat tenaga global berpangkalan di Perancis, merupakan antara lima pemain utama dunia dengan portfolio kukuh dan berkembang dalam gas asli cecair (LNG) serta operasi huluan.
Dalam pertemuan itu, Saniez memberi taklimat mengenai operasi syarikat termasuk penglibatannya dalam penerokaan ultra laut dalam di perairan Sabah. Syarikat itu kini memegang 34.9 peratus kepentingan penyertaan bersama Petronas Carigali Sdn Bhd dan Shell.
TotalEnergies turut terlibat dalam lima blok penerokaan lain di luar pesisir Sabah serta mempunyai pegangan dalam aset gas luar pesisir utama di Sarawak.
Saniez berkata, Sabah merupakan langkah strategik seterusnya bagi syarikat itu, mengambil kira potensi besar luar pesisir, permintaan gas yang semakin meningkat, dasar mesra pelabur serta sokongan kukuh daripada kerajaan negeri dan Persekutuan.
Turut hadir ialah Pengarah Undang-Undang TotalEnergies EP Malaysia, Solpiee Sahmat serta Wakil Serantau Sabah, Chamber of Commerce and Industry (CCI) France Malaysia, Jacques Leizerovici.


































