Alexyus Matius
MATUNGGONG: Penyertaan ramai muka baharu dalam pertandingan pemilihan Ahli Jawatankuasa (AJK) Parti Bersatu Sabah (PBS) di Matunggong bagi penggal kali ini membuktikan parti itu terus relevan serta mendapat sambutan menggalakkan, khususnya daripada golongan muda.
EXCO Pemuda Pusat PBS, Alexyus Matius berkata, beliau berbangga melihat keberanian generasi muda tampil ke hadapan menawarkan diri sebagai pemimpin baharu dalam parti.
Menurutnya, perkembangan itu menunjukkan semangat perjuangan PBS terus hidup dan mendapat tempat dalam kalangan belia.
“Selain Pemuda, pemilihan sayap Wanita turut menyaksikan kemunculan ramai muka baharu yang bersedia memikul tanggungjawab memperkukuhkan parti di peringkat akar umbi.
“Ini merupakan petanda positif bahawa PBS terus berkembang dengan penyertaan generasi baharu yang bersemangat,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pemilihan AJK Pemuda dan Wanita kali ini diharap dapat dijalankan secara sihat, matang dan dalam semangat kekeluargaan.
Katanya, setiap calon perlu menampilkan kekuatan, idea serta kemampuan masing-masing bagi meyakinkan perwakilan bahawa mereka layak dipilih.
Pada masa sama, Alexyus menggalakkan golongan belia di kawasan lain agar turut merebut peluang untuk terlibat dalam proses pemilihan berkenaan.
“Penglibatan aktif generasi muda amat penting bagi memastikan kesinambungan perjuangan parti terus kukuh,” katanya.
Beliau turut mengingatkan semua calon yang bertanding supaya menerima keputusan dengan hati terbuka sekiranya tidak berpihak kepada mereka.
“Jadikan ia sebagai pengalaman berharga dalam perjalanan kepimpinan. Yang penting, kita kekal sabar, setia dan bersatu demi memperkukuhkan perjuangan PBS,” katanya.
































