James (kiri) menerima cenderamata daripada Adzman.
KOTA KINABALU: Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, James Ratib menerima kunjungan hormat Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) hari ini dalam usaha memperkukuh kerjasama strategik pembangunan pendidikan negeri.
Delegasi SPP diketuai oleh Dato’ Haji Adzman Talib, serta diiringi oleh Md. Radzi Hashim, Datuk Dr. Nuinda Haji Alias, Intan Zainab Mohd. Bustan dan pegawai lain.
Dalam sesi taklimat, SPP memaklumkan bahawa tahap pengisian guru di Sabah telah mencapai 98.22 peratus, sekali gus memastikan kelancaran operasi sekolah di seluruh negeri.
Lebih membanggakan, 86.75 peratus daripada jumlah tersebut merupakan anak Sabah, selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri untuk memperkasa bakat tempatan serta membina kekuatan sumber manusia pendidikan dari dalam negeri sendiri.
Perkembangan ini mencerminkan keberkesanan penyelarasan dasar serta komitmen berterusan antara Kerajaan Negeri dan SPP dalam memastikan keperluan tenaga pengajar sentiasa mencukupi dan berkualiti.
Selain itu, perbincangan turut menyentuh aspek pengurusan perkhidmatan pendidikan, termasuk pelantikan dan penempatan guru serta keperluan memperkukuh bidang kritikal yang menyokong agenda sains, teknologi dan inovasi Sabah.
Kunjungan ini mencerminkan komitmen berterusan di bawah kepimpinan James dalam memastikan sektor pendidikan negeri terus diperkasa sebagai asas utama pembangunan modal insan.
Penekanan terhadap pembangunan bakat tempatan dan penguasaan bidang strategik dilihat sebagai langkah penting dalam menyediakan generasi masa depan Sabah yang lebih berdaya saing.
SPP menegaskan komitmen untuk terus menyokong keperluan Sabah melalui pengurusan sumber manusia pendidikan yang efisien dan responsif.
Lawatan ini turut memperkukuh penyelarasan antara peringkat persekutuan dan negeri bagi memastikan sistem pendidikan Sabah terus maju, inklusif dan relevan dengan keperluan semasa.
Setiausaha Tetap KPSTI, Datuk Hassan Mahali turut hadir.
































