KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri terus memperkukuhkan agenda transformasi digital apabila Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri (JPKN), sebuah agensi di bawah Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPSTI), secara rasmi dijenamakan semula sebagai Jabatan Teknologi Digital dan Inovasi Negeri sempena sambutan ulang tahun ke-50 penubuhan jabatan tersebut.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk James Ratib berkata, penjenamaan semula itu mencerminkan peranan baharu jabatan berkenaan sebagai peneraju transformasi digital kerajaan negeri serta pemangkin pembangunan inovasi teknologi di Sabah.
Menurut beliau, sepanjang lima dekad penubuhannya, jabatan tersebut telah memainkan peranan penting sebagai tulang belakang kepada pembangunan sistem dan teknologi maklumat Kerajaan Negeri, bermula daripada era pengkomputeran asas sehingga kepada pembangunan sistem digital serta pelaksanaan pelbagai inisiatif transformasi digital dalam perkhidmatan awam Sabah.
“Usaha berterusan ini telah membantu memperkukuhkan kecekapan pentadbiran kerajaan, meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat serta menyokong pelbagai agenda pembangunan negeri,” katanya ketika merasmikan pelancaran nama baharu jabatan tersebut dalam satu majlis yang diadakan hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Tetap KPSTI, Datuk Hassan Mahali; Pengarah Jabatan Teknologi Digital dan Inovasi Negeri, Ernywati Dewi Abas; Ketua Pegawai Eksekutif SabahNet, Kah Yi; serta Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Creative Economy and Innovation Centre (SCENIC), Mohd. Lan Muslim.
James berkata, dunia kini bergerak pantas ke arah ekonomi digital, inovasi teknologi dan masyarakat berasaskan data, justeru kerajaan perlu memainkan peranan sebagai pemacu utama transformasi digital.
Seiring dengan aspirasi Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, teknologi digital dan inovasi dikenal pasti sebagai antara enjin utama yang akan mempercepatkan pembangunan negeri dalam pelbagai sektor termasuk ekonomi digital, pendidikan, perkhidmatan awam, industri kreatif serta pembangunan masyarakat.
Dalam konteks ini, katanya, jabatan berkenaan akan memainkan peranan strategik dalam mempercepatkan transformasi digital perkhidmatan kerajaan, memperkukuh ekosistem inovasi negeri, meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam serta menyokong pembangunan ekonomi digital Sabah.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua kepimpinan terdahulu, pegawai serta kakitangan jabatan yang telah mencurahkan tenaga dan komitmen sepanjang perjalanan lima dekad organisasi itu sehingga berjaya melakar pelbagai pencapaian dalam pembangunan teknologi maklumat kerajaan negeri.
“Dengan pengalaman dan legasi yang kukuh selama 50 tahun, saya yakin jabatan ini mampu terus memacu perubahan yang lebih besar serta memperkukuhkan keupayaan digital Kerajaan demi manfaat rakyat Sabah,” katanya.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh warga jabatan atas penjenamaan semula tersebut dan berharap jabatan berkenaan akan terus memainkan peranan penting dalam merealisasikan aspirasi Sabah Maju Jaya.




























