PUTATAN: Pendekatan pembangunan holistik yang menggabungkan kecemerlangan akademik dan aktiviti sukan mampu mengangkat martabat sekolah-sekolah di Putatan ke tahap lebih tinggi.
Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, keseimbangan antara prestasi akademik dan penglibatan dalam aktiviti fizikal perlu diberi penekanan bagi memastikan kedua-dua aspek itu berkembang secara berterusan.
Menurutnya, selain melahirkan pelajar cemerlang dalam pelajaran, pencapaian dalam bidang sukan turut penting dalam menaikkan nama sekolah di daerah ini ke peringkat lebih tinggi.
“Pembangunan holistik yang merangkumi kedua-dua aspek ini memainkan peranan penting dalam melahirkan pelajar berdaya saing pada masa hadapan, sama ada dalam akademik mahupun sukan.
“Pada masa sama, ia turut meningkatkan kualiti sekolah dan membuktikan Putatan memiliki institusi pendidikan yang berkualiti di Sabah,” katanya ketika berucap selepas merasmikan Kejohanan Sukan Tahunan ke-26 SMK Tansau, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pegawai Pendidikan Daerah Penampang, Rusmadi Ahmad; Pengetua SMK Tansau, Dr. Miller Yong; Pegawai Tugas-Tugas Khas Parlimen Putatan, Mohd. Sufian Matin; Pegawai Khas Parlimen Putatan, Mahadzir Abd. Majid; serta Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tanjung Keramat, Latip Jiar.
Sementara itu, Shahelmey yang juga Pengerusi Sabah Oil & Gas Development Corporation Sdn Bhd (SOGDC) berkata, kejohanan sukan tersebut dapat memupuk kesedaran dalam kalangan pelajar untuk mencapai kecemerlangan dalam kokurikulum, selain membina kemahiran sosial, kepimpinan dan disiplin diri.
Beliau turut memuji tema sukan tahun ini, “Alam Sekitar: Flora dan Fauna”, yang disifatkan bertepatan dalam mendidik pelajar mengenai kepentingan memelihara dan menghargai khazanah alam semula jadi.
“Melalui sukan, pelajar bukan sahaja aktif secara fizikal, tetapi turut didedahkan kepada kepentingan pemuliharaan alam sekitar,” katanya.


































